Malaysia Dateline

Gelap, tak nampak: Azeez tepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) berpendirian tegas bahawa isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama perlu dielakkan pada masa akan datang khususnya sepanjang sidang Parlimen berlangsung.

AWAN melalui Biro Integrasi Nasional berkata, tindakan Ahli Parlimen Baling pada hari pertama sidang Dewan Rakyat kelmarin, hakikatnya bersifat perkauman dan tidak menghormati kaum-kaum lain.

Menurut biro tersebut, sebagai seorang pemimpin, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sepatutnya bersifat lebih matang dan tidak merendahkan ras lain.

Lebih-lebih lagi katanya, kelakuan MP BN itu dilihat sewenang-wenangnya mengaitkan warna kulit Ahli Parlimen Batu Kawan dengan kritikan ‘gelap’ dan ‘tak nampak’ serta ‘pakailah bedak’.

“Pepatah Melayu ada menyebut; kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Tepuk-tepuk air di dulang, akhirnya percik ke muka sendiri.

“Kami nasihat beliau agar rajin-rajinlah belek muka sendiri di cermin, kerana tindakannya merendahkan Batu Kawan sama seperti ibarat meludah ke atas langit, jatuh ke muka sendiri.

“Kami juga ingin menasihatkan beliau agar jadilah sebagai pemimpin Islam yang baik dengan menunjukkan kematangan dan lebih peka terharap perasaan orang lain walaupun berlainan agama dan etnik,” tegas mereka dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Pengerusi Biro Integrasi AWAN Nasional, Puspha Nagiah Vengadesan; Timbalan Pengerusi, Arulselvi Nathan; dan Timbalan Ketuanya, Pavathy Muthukanu.

Terdahulu, susulan kenyataan berbaur rasis dan seksis yang digunakan Abdul Azeez terhadap Kasthuri Patto, beliau telah menarik balik semula kenyataan tersebut dan meminta maaf semasa sidang Parlimen hari kedua dijalankan.

Ia selepas arahan dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang meminta agar Abdul Azeez menarik semula kenyataan itu dan tidak lagi membenarkan mana-mana ahli Parlimen bersidang dengan menggunakan bahasa yang menyinggung perasaan.

Tindakan Ahli Parlimen BN itu mendapat kritikan hebat orang ramai sehingga satu petisyen dilancarkan mendesak beliau memohon maaf secara terbuka.

Malaysia Dateline mendapati, bantahan awam itu terus rancak di media sosial pada masa ini biarpun permohonan maaf sudah pun dilakukan.