Malaysia Dateline

Gelar Bersatu parti kecil, Umno Perak cuba jadi ‘abang besar’

Pengerusi Umno Perak dibidas cuba menjadi ‘abang besar’ dalam kerajaan Perikatan Nasional apabila mencadangkan agar Bersatu dibubarkan dan keseluruhan ahlinya menyertai Umno semula.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Perak, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin berkata, pengorbanan Bersatu Perak ketika ini hanya sia-sia biarpun sudah banyak mengalah sebaik sahaja kerajaan PN yang digelar tebuk atap itu terbentuk.

Beliau berkata, ia dapat disaksikan dengan situasi Umno berjaya menguasai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak dengan mengisi enam daripada 10 jawatan Exco Negeri.

“(Selain itu), Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terpaksa menafikan tiga Adun lompat yang memberi sokongan kepada beliau.

“Ahli-Ahli Majlis PBT di Perak sebilangannya dikuasai daripada Umno.

“Ahmad Faizal juga terpaksa menubuhkan Jawatankuasa Sementara Ketua Kampung dalam isu Ketua Kampung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada semalam, Datuk Saarani Mohamad mencadangkan Bersatu menyertai Umno oleh kerana menganggap parti itu kecil berbanding Umno yang dikatakan mempunyai keahlian melebihi tiga juta di seluruh negara.

Saarani berkata, sebagai parti besar dengan jumlah keahlian yang ramai, Umno tidak akan bergabung dengan Bersatu dan cadangan itu katanya pasti tidak dipersetujui majoriti ahli.

Menurutnya juga, cadangan tersebut disuarakan pelbagai pihak sebelum ini bertujuan memastikan Umno, Pas dan Bersatu tidak bertembung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sementara itu, Ahmad Shafiq berkata, tindakan Umno Perak itu diibaratkan seperti Belanda dapat tanah yang sentiasa tidak berpuas hati biarpun selepas pelbagai pengorbanan yang diberikan Ahmad Faizal dan Bersatu.

“Kepada Ahmad Faizal dan Bersatu, suka Pemuda AMANAH Negeri Perak memberi nasihat bahawa Umno merupakan kawan politik yang sangat licik yang mana bersedia menerkam mangsanya pada bila-bila sahaja.

“Terpulanglah kepada Ahmad Faizal dan Bersatu untuk meneruskan ikatan politik ini atau bersedia untuk ditalkinkan oleh Umno menjelang PRU15 nanti,” katanya lagi.