Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh digesa untuk berhenti menunjukkan sikap yang tidak matang dalam berpolitik seperti kata-mengata.
Sebaliknya, Akmal sebagai pemimpin muda seharusnya menunjukkan teladan yang lebih baik supaya boleh dijadikan contoh, kata Ketua Pemuda DAP iaitu Dr Kelvin Yii.
Dr Kelvin Yii menerusi hantaran di laman Facebook menjelaskan, Akmal sepatutnya membawa hujah matang atau kritikan membina apabila memiliki pendapat berbeza.
Menurutnya, tindakan kata-mengata Akmal yang sebelum ini mengggelar seorang menteri sebagai ‘bodoh’ telah menjejaskan wacana politik semasa di negara ini.
“Ketua Pemuda Umno sebagai pemimpin muda harusnya menunjukkan contoh yang baik dalam politik dan tidak menunjukkan sikap tidak matang dengan kata-mengata walaupun tidak bersetuju dengan tindakan seorang menteri dalam kerajaan.
“Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan tindakan serta kenyataan diperkatakan, beliau sebagai pemimpin muda sepatutnya membawa hujah yang wajar dan matang.
“Hal ini termasuklah sama ada untuk menyangkal kenyataan itu atau menambahkan kritikan membina terhadap isu semasa yang sedang berlaku,” tulis Dr Kelvin Yii yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching itu.
Yii dalam hantaran yang sama menegaskan bahawa wakil rakyat tidak seharusnya terus mengamalkan budaya politik lama di negara ini dengan amalan kata-mengata.
“Berhujahlah soal dasar dengan dasar, kemudian mengusulkan cadangan yang lebih baik. Berbincang dengan wacana yang matang, barulah budaya politik boleh matang dan menambah nilai kepada masyarakat kita,” jelasnya.
Gesaan Dr Kelvin Yii merujuk kepada kenyataan Akmal di Facebook baru-baru ini yang menafikan gerakan boikot diperjuangkannya telah memburukkan prestasi ekonomi.
Dakwa Akmal, kemerosotan ekonomi negara sebenarnya berpunca dari kewujudan menteri ‘bodoh’ seperti Nga Kor Ming iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Baca juga: Minyak mahal sangat, lelaki sanggup naik kuda untuk hantar makanan pelanggan