Gelar ‘menteri iblis’: Ustaz Ali Muda bidas Ustaz Azhar Idrus

Gelar ‘menteri iblis’: Ustaz Ali Muda bidas Ustaz Azhar Idrus

Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ustaz Ali Muda membidas gelaran  ‘menteri iblis’ yang digunakan penceramah Ustaz Azhar Idrus ketika berada dalam masjid.

Menurutnya, politik Pas dalam masjid itu menganggap seolah-olah apa yang Pas lakukan sebagai suruhan dan kehendak Allah.

“Ustaz yang terkenal dengan kata-kata ‘bodo..’ ini mendakwa ada orang kata haram berbaik-baik atau bergabung sesama Islam (maksudnya sesama orang Pas dan Umno). Dia menyifatkan orang itu sebagai iblis.

“Dia juga mendakwa ada seorang menteri kata tak boleh berbaik-baik atau bergabung (sesama Pas dan Umno) dan dia mengatakan menteri itu adalah menteri iblis.

“Kita nak tanya ustaz ini siapa orang yang kata haram berbaik-baik atau bergabung sesama Islam itu? Dan kita juga mahu tanya dia siapakah menteri iblis yang kata tak boleh berbaik-baik atau bergabung sesama Islam?

“Nampaknya ustaz ini hanya mengajar ikut arus politik Pas dalam masjid. Kononnya apa yang Pas buat itu adalah suruhan Allah dan kehendak Allah semuanya,” bidasnya dipetik dari Facebook beliau.

Beliau mengulas rakaman video berdurasi hampir dua minit yang memaparkan ceramah Ustaz Azhar.

Ustaz Ali berkata, Pas hanya menganggap semua yang pihak lain lakukan untuk kemajuan Islam dan umat Islam adalah tidak betul dan tidak Islamik.

“Yang betul dan Islamik hanyalah yang Pas buat iaitu dasar Membangun Bersama Islam. Jika dulu mengkafirkan Umno itu kehendak Allah atau kerana mencari redha Allah, kini bergabung dengan Umno pula kehendak Allah.

“Mengkafirkan atau memunafikkan Amanah (yang mereka suka sebut Pan) serta menyifatkannya sebagai khadam musuh Allah pula adalah kehendak Allah.

“Dulu Pas kata dasar Penerapan Nilai-nilai Islam (PNI) itu tidak Islam kerana ia cuma kosmetik. Selepas itu, dasar Wawasan 2020 pun tidak Islam kerana ia juga kosmetik dan was-was syaitan (saya masih ingat seorang cikgu kuat Pas mengajar kami tentang hal ini dalam kelas Tingkatan 6 Atas 1991),” katanya.

Selepas itu, jelasnya, Pas turut menganggap Islam Hadhari tidak betul kerana yang betul ialah Hadharah Islamiyah disusuli kemudiannya Islam Wasatiyah juga tidak betul.

“Kini dasar atau gagasan Rahmatan Lil Alamin dan Maqasid Syariah pun tidak betul kerana kononnya ia rahmatan lil kafirin dan hendak buat maqasid tetapi tidak mahu syariah,” ulasnya.

 

Pijak kepala 

Dalam klip video itu, Ustaz Azhar berkata penggabungan tanpa menyebut nama parti adalah bukan kerana politik.

“Tetapi kerana Allah kerana hendak menyelamatkan agama Islam. Kewajipan kita membela bumi umat Islam daripada dirampas oleh musuh-musuh Allah.

“Bukan untuk tujuan politik tetapi untuk mempertahankan hak kita. Ini termasuk jihad. Islam sama Islam hendak bergabung, dia kata haram.

“Itu iblisnya namanya. Ada seorang menteri kata tidak boleh gabung, kekalkan dengan perpecahan. Itu menteri iblis namanya,” tohmahnya.

Selanjutnya, Ustaz Azhar menyebut, “kita redha selama ini kita berpecah belah, Allah ajar kita orang kafir naik, pijak kepala kita”.

Sehubungan itu, serunya lagi, bergabung semulalah bukan kerana hendak undi semata-mata kerana tambahnya, “keranaMu Ya Allah dengan kita bergabung walau mengundi atau tidak, turun pertolongan Allah, itu pasti.”

Mengulas lanjut, Ustaz Ali berharap akan ada khalayak pendengar untuk berani tampil bertanya Ustaz Azhar secara berdepan.

“Jangan angguk-angguk dan ketawa sahaja dengan lawak bohongnya itu,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan terjemahan kepada makna Membangun Bersama Islam yang menjadi slogan kerajaan negeri Kelantan

“Cuma kita nak tanya apa yang membangunnya Islam di negeri pentadbiran Pas? Apakah kualiti umat Islam di negeri Pas lebih baik daripada umat Islam di negeri-negeri lain?
“Dari segi kebersihan, kecekapan pentadbiran, peluang pekerjaan untuk orang Islam adakah negeri Pas lebih baik? Semua orang tahu jawapan kepada persoalan itu,” tambahnya lagi.