Malaysia Dateline

Gelar rakyat sampah: Anak bekas MB jawab anak MB

Menggelarkan rakyat sebagai ‘rakyat sampah’ tidak sepatutnya diungkapkan terutama daripada anak atau waris wakil rakyat apatah lagi diangkat sebagai Menteri Besar.

Anak bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Hakim Wan Mokhtar membidas kenyataan anak Menteri Besar Terengganu, Ami Samsuri yang menyalahkan rakyat kononya menjadikan bapanya sebagai mesin ATM.

Beliau mengingatkan anak MB itu bahawa bapanya naik pada kedudukan sekarang kerana rakyat dan apabila menjadi pemimpin mahu atau tidak ia adalah satu tanggungjawab.

“Pokok pangkalnya, tak payahlah blame dan salahkan orang lain terutama rakyat. Ayah kita naik kerana rakyat.

“Bila ayah dan mak kita diangkat menjadi pemimpin, memang nak tak nak kita ada tanggungjawab,” katanya.

Beliau yang melalui pengalaman ini sudah sekian lama di mana perasaan empati, belah kasihan dan bersangka baik akan dijadikan sandaran utama.

“Arwah mama selalu pesan “jaga nama baik Baba…” masih terngiang-ngiang ditelinga sampai sekarang. 25 tahun kami lalui. Pokcik faham perasaan anak ni,” katanya.

Posting Ami Samsuri menerima kecaman terutama atas tulisan #rakyatsampah di mana beliau menceritakan rakyat cuba mengambil peluang melalui adik-beradik beliau ke atas kedudukan ayahnya, meminta bantuan dan sumbangan tanpa henti seoalah-olah ayahnya itu mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Berdasarkan pengalaman, bagi Hakim rakyat adalah segala-galanya walaupun dipuji, dikeji, menang atau kalah, jangan sekali-kali salahkan rakyat.

“Bila rakyat mintak tolong, tanggungjawab kita untuk sampaikan. Ada yang layak tolong ada yang tidak layak. Ada yang genuine ada yang menipu. Majoritinya memang betul mereka perlukan bantuan. Bersangka baiklah.

“Memang rakyat yang susah anggap kita sebagai ATM. Ibu yang kematian suami, anak 5 bersekolah, keluarga semua daif, mana lagi nak mintak bantuan kalau bukan ATM wakil rakyat dan selepas itu JKM dan Maidam.

“PIBG sekolah-sekolah yang di pedalaman, berapa sangatlah dapat kumpul sumbangan dari mak ayah untuk program anak-anak. ATM wakil rakyat akan bantu.

“Apatah lagi kalau kita MB, pesakit perlu bayar rawatan segera, balai raya rosak, jalan rosak, surau dah tersungkur, ATM MB akan diguna.

“ATM MB dan wakil rakyat sebenarnya datang dari rakyat jugak sebab gaji dan peruntukan datang dari hasil mahsul negeri milik rakyat,”kata beliau.