Malaysia Dateline

Gelar Umno Sabah parti tidak laku: Ketua Pemuda Umno desak menteri Bersatu letak jawatan

Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendesak pemimpin Bersatu, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad segera meletakkan jawatan selaku Menteri Kabinet.

Tindakan itu, tegasnya, perlu dilakukan demi maruah Umno serta mengekalkan keharmonian dan kehormatan semua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Asyraf berkata, pihaknya memandang serius video tular kenyataan Menteri Pembangunan Luar Bandar itu yang menyifatkan Umno Sabah sebagai sebuah ‘parti yang tidak laku’.

“Kenyataan biadab dan angkuh seperti itu tidak harus diungkapkan oleh seorang yang sudah berstatus Menteri dalam sebuah kerajaan yang terbentuk hasil kerjasama gabungan parti-parti politik terutamanya Umno sebagai rakan komponen terbesarnya.

“Lebih menghiris lagi apabila kenyataan yang berupa penghinaan sebegitu diluahkan oleh seorang pengkhianat parti yang lari dan terjun meninggalkan bahtera Umno di saat badai besar melanda, sedangkan bahtera inilah yang pernah mengangkat beliau sebagai Ahli Parlimen Mersing,” bidasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam rakaman video yang tular itu, Latiff menganggap rakyat di Sabah sudah tidak yakin dengan Umno sebaliknya berhijrah ke Bersatu.

“Orang Sabah, dia tak panggil lompat. Dia kata hijrah, biasa. Daripada Berjaya pergi ke Usno, Berjaya pergi PBS, PBS pergi Umno.

”Sekarang ini Umno dah tak laku la. I mean parti la, Umno di Sabahlah. Itu realitinya kerana orang sudah tidak yakin. Semua orang dia dah lompat, dia hijrah ke Bersatu,” dakwa Latiff.

Untuk rekod, Umno-BN di Sabah mulanya mempunyai 17 daripada 58 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi kemudiannya bertukar sokongan kepada Bersatu dan Warisan sebanyak lapan dan tujuh kerusi masing-masing.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, pihaknya sama sekali tidak akan membiarkan maruah Umno berterusan dicabuli buat kali kedua.

“Pemuda Umno tidak sesekali merelakan maruah parti terus dicabuli buat kali kedua dengan kata nista berupa penghinaan setelah perilaku pengkhianatan ke atas parti ini cuba kami kompromi,” tambahnya lagi.