Malaysia Dateline

Gelinya macam bercinta betul-betul, netizen sindir hubungan Pas-Umno

Luahan hati Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang dipercayai berkaitan hubungan parti itu dengan Umno menerima sindiran warga maya.

Rata-rata netizen memberi reaksi sinis dan mengetawakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu yang secara bermadah mengaitkan nilai setiakawan sejati.

“Gelinya. Macam bercinta betul-betul,” kata pengguna Twitter, Zhafri Tahir.

Sementara itu, Zull Ahmad pula menempelak sikap Pas yang dilihat mengambil kesempatan apabila bergabung bersama Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

“Nak makan kiri kanan pun tengok orang sebelah sama Taki,” katanya.

Bagi pemilik Twitter Dzharman pula mengaitkan kenyataan Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu dengan habuan mempunyai jawatan dalam kerajaan.

“Banyak kemudahan jadi menteri ni. Sayang juga saya nak lepaskan jawatan menteri,” sindirnya.

Padi tadi, Takiyuddin meluahkan isi hati terhadap ‘insan’ dicintai apabila berkata, setiakawan sejati bukan sampai menegah kawan berkawan memandangkan kawan adalah rezeki persahabatan yang datang.

“Aku mungkin hilang kau kawan yang tak hargaiku, tapi kau hilang aku kawan yang betul-betul percayaimu,” katanya.

Bahkan, kenyataan pemimpin Pas itu turut dipetik pereka grafik, Fahmi Reza dalam karya terbaharunya dan dikongsikan di Twitter beliau.