Gelombang 5M mampu gugat BN, kata penganalisis

Gelombang 5M mampu gugat BN, kata penganalisis

Barisan Nasional (BN) berhadapan ancaman besar sekiranya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak diadakan secepat mungkin iaitu pada tahun hadapan ekoran pesatnya perkembangan sokongan untuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan pengikutnya, kata penganalis.

Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, kelewatan PRU14 hanya akan memberi masa tambahan kepada gerakan yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengumpul kekuatan, lapor Sinar Harian.

“Kalau PRU14 diadakan cepat, mungkin mereka tak sempat menyusun barisan dan BN akan mempunyai peluang yang tinggi. Tapi kalau 2017 tak berlaku PRU14 ini, maka gerakan ini akan menjadi lebih kuat kerana mereka memenangi isu nasional seperti 1MDB (1Malaysia Development Berhad),” katanya kepada laman online akhbar itu.

Menurutnya, sekiranya gerakan tersebut mampu mencipta gelombang dengan faktor Mahathir, ancamannya lebih besar kepada BN.

“Jika Tan Sri Muhyiddin Yassin bergabung dengan Mahathir, Datuk Seri Mukhriz (Mahathir) dan Datuk Seri Mohd Shafie (Apdal) membentuk gelombang 4M, ia akan beri sumbangan perpecahan kepada parti yang stabil, Umno-BN sendiri.

“Jika masa mencukupi, Mahathir boleh mencipta gelombang itu. Cuma, sehingga kini masih belum nampak riak-riak gelombang lagi,” katanya.

Katanya, 1MDB sudah dijadikan peluru berbisa kepada BN di mana lama-kelamaan rakyat akan membina persepsi negatif kepada kerajaan.

Shamsul Adabi Mamat“Jika Muhyiddin dapat menggerakkan isu itu, beliau juga akan beri bahaya yang besar kepada BN.

“Tapi kita dapat lihat komplikasi dalam gerakan Muhyiddin itu seolah-olah menepuk air di dulang memandangkan beliau asalnya orang kuat kerajaan yang mempertahankan dasar itu sebelumnya tapi kini selepas dipecat beliau dilihat memburukkan pula kerajaan sedia ada.

“Jadi, ini akan berlaku kontradiksi dengan perjuangan itu. Maknanya, kalau beliau nak bergerak, mesti mencari jalan tengah yang dibawa oleh gelombang 4M ini,” katanya.

Utara Semenanjung menyaksikan gelombang 5M (campur bekas pesuruhjaya Pas Kedah yang juga ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar) apabila kelima-lima mereka turun ke Arau, Kulim dan Jerlun hujung minggu lalu.

Sambutan hangat yang diberikan rakyat kepada mereka memperlihatkan gelombang sedang tercipta.

Di Sabah pula, Shafie juga sedang mencipta gelombang gelombang itu apabila rakyat negeri di bawah bayu itu memberikan sambutan hangat kepada semua majlis yang beliau adakan.