Malaysia Dateline

Gelombang baharu jangkitan Covid-19 mungkin bermula

Lonjakan kes yang merekodkan angka jangkitan baharu mencecah 260 kes hari ini menunjukkan gelombang baharu penularan Covid-19 mungkin sudah bermula.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata negara mencatatkan peningkatan kes positif pandemik itu sejak mutakhir ini.

Beliau mengakui risau dengan rekod kedua tertinggi sejak 4 Jun lalu dengan 31 kes hari ini melibatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

Menurutnya, sebanyak 119 kes melibatkan individu yang pulang dari Sabah dikesan sejak 20 September lalu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, semua pihak bertanggungjawab untuk melandaikan semula lengkuk jangkitan tersebut.

“Terpulang kepada kita untuk melandaikan lengkuk itu. Kita sudah melakukannya sebelum ini dan boleh melakukannya sekali lagi.

“Namun kali ini, kita sudah ada pengalaman,” katanya pada sidang media Covid-19, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, tindakan kesihatan awam sudah dilaksanakan di Sabah, dua minggu sebelum pengumuman mewajibkan individu pulang atau datang dari Sabah untuk menjalani ujian saringan Covid-19 bermula 27 September lalu hingga 10 Oktober ini.

Berikutan tindakan kesihatan awam itu, katanya, Kementerian Kesihatan berupaya melaporkan pengesanan kes jangkitan harian.