Malaysia Dateline

Gelombang kemarahan rakyat: 600 ahli Pas Kelantan keluar parti

600 penyokong dan ahli Pas dalam Dun Gual Ipoh Parlimen Tanah Merah dilaporkan telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Penulis politik Mohd Sayuti Omar mendedahkan penyertaaan ahli dan penyokong Pas itu merupakan gelombang kemarahan rakyat Kelantan kepada kerajaan Pas atas kegagalan kerajaan lebih 30 tahun.

Katanya kegagalan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat sudah mula meletus dengan penghijrahaan beramai-ramai para penyokong dan ahli Pas di Tanah Merah.

Majlis Penghijrahan Ahli Pas di Tanah Merah

“Malam semalam diumumkan 600 orang penyokong ahli dan penyokong Pas dalam Dun Gual Ipoh parlimen Tanah Merah menyertai parti Keadilan (PKR).

“Majlis penghijrahan beramai-ramai itu diraikan oleh Setiausaha Agong Keadilan Saifuddin Nasution Ismail.

“Antara yang mengumumkan menyertai Keadilan, Ketua Pas Cawangan Kampung Liku, Gual Ipoh Che Rahim dan Ketua Pengundi luar Pas Sdr Roslan,” tulis beliau di Facebooknya.

Beliau percaya, penghijrahan beramai-ramai itu dilihat sebagai satu permulaan protes besar-besaran rakyat Kelantan terhadap kerajaan Pas yang kini makin dipertikaikan mengenai kewibawan mereka mentadbir dan mengurus Kelantan.

“Antara isu yang meruncing di Kelantan dan menekan rakyat ialah masalah air bersih, kenaikan cukai tanah serta kemiskinan yang ketara dan pengangguran.

“Hadir sama dalam majlis penghijrahan itu Pengerusi Keadilan Kelantan Supardi Mohammad Noor.

“Dalam ucapan Supardi merasa pelik dengan tindakan ahli dan panyokong Pas itu kerana sesudah berpuluh tahun akhirnya meninggalkan Pas.

“Tindakan itu menurut Supardi menandakan masa dan peluang terbaik untuk Keadilan membawa perubahan di Kelantan dengan memulakan langkah menawan parlimen Tanah Merah,” kata beliau.

Parlimen Tanah Merah pernah menjadi milik Keadilan dalam pilihan raya ke12 lalu.