Gelombang penafian politik

Gelombang penafian politik

Usaha untuk menyatukan bangsa Melayu dan umat Islam oleh ahli-ahli politik dalam negara ini merupakan satu kegiatan yang baik dan perlu dialu-alukan. Perpecahan umat Islam akibat perbezaan dan ideologi politik merupakan salah satu faktor yang boleh melemahkan kekuatan Islam dalam negara ini.

Kemenangan dan kejayaan itu hanya akan datang apabila terciptanya perpaduan di antara yang memimpin dengan yang dipimpin. Kerana itulah, Rasulullah saw  menegaskan, “bahawa orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.”

Peri pentingnya kesatuan ummah itu dapat diselaraskan dengan firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 103 mengenai berpegang teguh kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai.

Namun amat dikesalkan atas kejujuran orang lain untuk melihat kuasa politik Melayu- Islam kembali berkerjasama, cadangan yang membawa kepada penyatuan itu akhirnya dipersoalkan sebagai sesuatu yang yang tidak berpijak dialam nyata dan ia adalah satu
kepura-puraan.

Mempersoalkan kejujuran dan keikhlasan orang lain dengan menggunakan kayu pengukur pengekalan kuasa politik adalah satu bentuk sindrom resah dan kekacauan moral yang tidak selaras antara apa yang diucapkan dengan apa yang dilakukan.

Begitulah realiti umat Islam dewasa ini. Sepatut kita sama-sama mencari jalan penyelesaian sehingga al-Quran dapat berfungsi kembali sebagai petunjuk tertinggi dalam memecahkan masalah ummah yang tak pernah selesai. Kita harus bersikap jujur dalam memahami al-Quran, membuang jauh-jauh kepentingan peribadi.

Al-Quran sebenarnya juga berfungsi sebagai al-Furqan tetapi mengapa kita masih saja terpasung dalam polarisasi yang meruncing sesama umat Islam? Sebagai petunjuk, al- Quran menerangkan secara jelas hakikat antara yang benar dan salah. Kemudian diserahkan kepada manusia dengan kemahuan bebasnya untuk memilih yang benar atau yang salah, tidak terkecuali dalam kaitannya dengan moral dan kekuasaan.

Banyak peristiwa sejarah yang berlaku di Malaysia boleh kita renungi betapa kerana takut kehilangan kuasa, mereka yang berada di tampok kekuasaan tidak lagi menghiraukan moral rakyat kebanyakan. Pada ketika itu, rakyat hanyalah sekelompok penyokong yang perlu mengiyakan apa yang diputuskan oleh pemimpin walaupun sedar ada sesuatu yang perlu diperbetulkan. Pemimpin terus menganggap dirinya yang betul, maka rakyat perlu patuh kepada apa yang dinyatakan.

Permulaan berkuasa penuh dengan kesederhanaan dan rendah diri. Setelah lama berkuasa, kesederhanaan sifat dan tindakan sudah berubah, sehingga pendapat orang lain tidak lagi perlu walaupun orang itu mendapat sokongan padu daripada ahli yang
membentuk dan mengemaskan perjalanan organisasi.

Penyatuan cara lebih bermaruah

Proses penyatuan tidak perlu dirintis secara lebih bermaruah kerana ia akan menggadaikan seluruh perjuangan yang ditegakkan selama ini, akan membongkar kesilapan lalu yang terlalu lama digula-gulakan kepada rakyat.

Itulah realiti politik yang sedang berlaku dalam gelombang pengekalan kuasa menuju sebuah arah yang gagal. Kegagalan bukan kerana tidak memahami keperluan, tetapi atas sikap yang semakin ego dan autokratik. Bila ada pihak yang cuba menghantar
isyarat bagi memperbetulkan arah, maka pemimpin itu akhirnya diberikan petunjuk baru agar segera menghentikannya. Maka terjadilah suasana bisu dan beku, yang hanya boleh memberikan pandangan adalah pemimpin itu seorang.

Maka belum pun perbincangan selanjutnya dirintis, petanda awal itu bertukar menjadi geruh politik yang membingungkan orang ramai. Dolak-dalik pun bermula sebagai petanda baru pemuafakatan yang disarankan semakin tidak dipersetujui kerana takutkan pusingan kuasa beralih dan bertukar tampok. Legasi untuk kekal sepanjang hayat tidak akan menjadi kenyataan, walaupun kepimpinannya semakin terumbang- ambing bagaikan “orang mabuk kuasa.”

Kuasa mutlak milik Allah SWT. Pemimpin tidak berhak mempersoalkan kuasa yang mutlak kerana mempersoalkannya bererti cuba mengambil hak Allah SWT. Apabila pemimpin menyoalkan dan menilai seseorang itu masuk syurga misalnya, ia sudah bermakna sebagai satu percubaan mengambil kuasa yang hanya milik Allah SWT. Mempersoalkan hakikat keimanan seseorang atas kelainan fahaman politik juga merupakan percubaan mempertikai kuasa Allah SWT sedangkan antaranya masih mengucap dua kalimah syahadah, beribadat dan beriman dengan al-Quran, keyakinan kepada Tuhan yang sama.

Jatuh bangun kuasa 

Putaran turun naik dan jatuh bangun sesebuah kekuasaan bukanlah suatu peristiwa yang tidak bermakna, dalam setiap penggiliran kuasa itulah sebenarnya Allah SWT ingin memperlihatkan bentuk pengajaran yang terbaik untuk manusia. Teladan itu akan membentuk satu falsafah moral yang bakal menjadikan panduan buat manusia bagi meneruskan kelangsungan kuasa dan membentuk sebuah peradaban yang kuat.

Beruntunglah bagi manusia yang dapat memahami dan mengambil pengajaran dari setiap peristiwa yang pernah dialami dan menjadikannya sebagai nilai baru sepanjang menguruskan kuasa, tetapi bukan menjadikan kuasa itu sebagai milik mutlak manusia.
Kemutlakan tetap milik Allah SWT. Amanah tersebut perlu dilaksanakan secara bermoral dan bertanggungjawab.

Penghayatan dan kupasan sejarahwan dan pemikir Islam, Ibnu Khaldun mengenai halini bersandarkan sepotong ayat yang telah digambarkan dalam al-Quran. Bangun dan jatuhnya sesuatu bangsa itu adalah kerana sikap kelompok elit yang tidak mempedulikan hak rakyat yang perlu diberikan perhatian dan akhirnya keegoan kelompok elit dengan pendapatnya sahajalah yang betul, maka rakyat menjadi muak dan benci. Ketika itulah suatu kuasa lain akan muncul mengambil peranan menjatuhkan kelompok elit yang lupakan tanggungjawab dan tidak melaksanakan amanah. (al-Quran Surah al-Isra ayat 16).

Kelompok elit terdahulu bukan sahaja jatuh, malah menerima jalan akhir penuh kejelikan. Kita mungkin tidak dapat melupakan bagaimana kekuatan Dinasti Pahlawi dan akhirnya terpaksa berkelana sehingga mati dalam buangan apabila rakyat Iran mula mempersoalkan bagaimana kuasa yang ada telah disalahgunakan. Kita juga memahami bagaimana suatu masa kemunculan Marcos penuh dengan sanjungan dan harapan, tetapi akhirnya dijatuhkan secara tragis sehingga menyebabkan kepulangan mayatnya menjadi konflik dan ketegangan.

Seorang penguasa wajib menjaga kehormatan agama Islam. Dia harus tetap membangun dan memperkuatkan pertahanan dan berusaha menjunjung tinggi kebenaran dan menjaga kemurnian umat agar langkah perjalanannya terpuji di sisi Allah SWT. Pemimpin juga perlu memperlihatkan sikap dan wibawa yang terpuji, bukan hanya untuk mendapatkan sanjungan manusia, tetapi mencari keredhaan Allah swt.

Jangan-jangan kita semua sudah tidak peduli lagi dengan perintah Tuhan. Kita semua sudah menjadi hamba dalam dunia bayangan yang kita ciptakan sendiri. Semasa di masjid, kita membesarkan dan memuji kekuasaan Allah SWT; di luar masjid kita menggunakan untuk bermaksiat kepada-Nya. Tangan-tangan yang kita angkat sepanjang amalan doa itulah juga kita celupkannya dengan dosa.

Lidah-lidah yang kita gegarkan bersama alunan suara nyaring menyebut Asma-Nya, lidah itulah juga akhirnya kita lontarkan kata-kata kesat, umpatan dan fitnah. Lidah itulah juga akhirnya memenjarakan diri kita dalam gelombang pembohongan dan penafian yang tidak berkesudahan.

Lidah itulah juga menyekat kita dari melakukan bahasa yang indah dan penuh makna kepada sebuah kebaikan. Kitalah sebenarnya telah memenjarakan tirai kuasa dalam politik belantara yang kotor dan keji.

Jangan kerana ingin terus berselindung di sebalik tirai kuasa, kita menjerat diri dalam tabir politik dolak-dalik dan prejudis. Itulah sebenarnya telah membunuh nilai diri dan keinsanan kita, sebagaimana dianjurkan oleh Islam. Tidak perlu kita mengamalkan apa
yang pernah disyorkan oleh Machiavelli, matlamat menghalalkan cara, kuasa menghalalkan tindakan dan mengetepikan prinsip moral.

*Penulis adalah Ketua Penerangan Putra Malaysia