Gelombang PH sudah melanda Johor, kubu BN bocor

Gelombang PH sudah melanda Johor, kubu BN bocor

Hisomuddin Bakar bimbang kegagalan pollsters di Amerika mengganggu industri yang sama di negara ini.

Hisomuddin meramalkan kubu BN ini akan jatuh ke tangan PH dalam PRU 14.

Hampir sebulan lalu, ketika parlimen belum dibubarkan, pengkaji politik Mohamad Hisomuddin Bakar yakin Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan negeri kubunya Johor dalam pilihan raya umum ke 14 ini.

Namun, malam kelmarin, apabila beliau turun ke majlis Jelajah Pakatan Harapan (JPH) di Pagoh, Johor, beliau berpendapat gelombang PH sudah melanda Johor.

“Bagi saya gelombang PH sedang melanda Johor dan juga sebahagian Pahang,” kata Hisomuddin ketika mengulas perkembangan terbaru politik Malaysia seminggu sebelum penamaan calon PRU 14 pada¬† 28 April ini.

Beliau yang turut berada di Pagoh kelmarin berkata, yang lebih menarik dalam JPH Pagoh adalah penyertaan anak muda yang sangat ramai.

Sebelum itu, JPH berlangsung di Pasir Gudang dan Muar, Johor turut mendapat sambutan yang sama.

“Bayangkan, kereta terpaksa diletakkan sepanjang tiga kilometer sepanjang jalan masuk ke tempat perhimpunan, satu KM di kiri dan dua KM di kanan, dan yang ramai datang adalah anak muda.

“Bila saya tanya kenapa mereka datang, mereka kata kami tak mahu susahkan diri selama lima tahun lagi jika undi BN, cukuplah apa yang kami lalui sekarang,” cerita Hisomuddin tentang perhimpunan di Pagoh, kawasan yang akan ditandingi Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyidin Yassin itu.

Orang ramai memenuhi perhimpunan Jelajah PH di Pagoh malam kelmarin.

 

Anak-anak muda ini bercerita, BN ada menawarkan kepada mereka RM50 hingga RM70 satu malam untuk memasang poster mereka.

“Kami tak mahu senang sekejap tetapi susah lima tahun lagi,” cerita Hisomuddin tentang apa yang dikatakan anak muda ini kepada beliau di Pagoh.

Menurut Hisomuddin, dengan gelombang ini, hampir kesemua kerusi marginal di Johor akan jatuh ke tangan PH dalam PRU 14 ini.

“Bila kerusi marginal jatuh, bermakna Umno terpaksa bertahan di kerusi luar bandar sahaja dan terlepas bandar dan pinggir bandar,” katanya.

Bagi Hisomuddin, turut akan menjadi korban gelombang ini adalah Pas yang tidak berada dalam arus utama ini.

“Saya boleh jangkakan Pas akan ‘wipe out’ (disapu bersih) kali ini kerana mereka tidak ada dalam arus ini,” kata beliau.

Pada penghujung Mac lalu, Hisomuddin meramalkan hanya pengundi yang tinggal di sekitar lebuh raya Utara Selatan (PLUS) sahaja mula berubah ke arah PH manakala yang tinggal di pendalaman khasnya di pantai timur Johor masih senang dengan Umno dan BN.

Ketika itu, Pengarah Eksekutif Ilham Center itu berkata Johor akan kekal jadi kubu kuat Umno dan Barisan Nasional.

“Pengundi Melayu di sekitar laluan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) seperti Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru mula dilihat berubah tetapi pengundi di luar bandar khasnya pantai timur Johor seperti Mersing, Kota Tinggi dan Pengerang masih kekal dengan BN,” kata Hisommudin.

Kajian kumpulan fokus yang beliau buat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerang di bawah Parlimen Air Hitam dan kawasan Felda di Johor ketika itu, beliau mendapati secara keseluruhannya, majoriti pengundi Melayu Johor masih mahu kekal bersama Umno berbanding berpindah kepada PH.

7.0
OVERALL SCORE
6 user votes x 8.2
CATEGORIES