Malaysia Dateline

Gelombang rakyat di Johor lebih hebat banding zaman Ku Li, kata Ketua Bahagian Bersatu

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Johor mendakwa akan berlaku gelombang rakyat yang hebat berbanding kewujudan Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46) yang diketuai pengasasnya Tengku Razaleigh Hamzah ketika menghadapi Pilihan Raya Umum pada 1990 dan 1995 di negeri itu.

Gelombang rakyat itu akan berlaku membabitkan penjawat awam di negeri itu yang terkesan dengan skandal tanah membabitkan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang didakwa gagal menjelaskan isu berkenaan kepada rakyat Johor.

Pandangan ini dilontarkan oleh Ketua Penaja Bersatu Bahagian Ledang Solihin Badri ketika ditemui Malaysia Dateline baru-baru ini.

Beliau berkata, kegagalan Mohamed Khaled merungkai dakwaan rasuah membabitkan exco kerajaan negeri selain isu-isu tempatan di negeri itu,dakwanya, tidak disenangi dikalangan penjawat awam di negeri itu.

“Cuma mereka ‘tangan terikat’ untuk bertindak dan berkata perkara yang benar.

“Mereka menyedari ia berlaku tetapi tidak berbuat apa-apa, jadi mereka juga berasa kecewa dengan apa yang sedang berlaku membabitkan menteri besar.

“Bahkan kegagalan beliau menjelaskan isu ini di sidang Dun juga amat megecewakan rakyat Johor,” ujarnya.

Justeru kata Solihin yang juga Pengarah Media Bersatu Negeri itu lagi, ketika wujudnya Semangat 46 orang Melayu di Johor berpecah kerana menyokong parti yang diasaskan Tengku Razalegih atau lebih dikenali sebagai Ku Li.

“Tetapi kebijaksanaan Umno ketika itu di bawah kepimpinan menteri besarnya ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin (1984 sehingga 1995) telah berjaya menyatukan semula orang Melayu sehingga Umno-BN terus mampu bertahan di negeri itu pada dua pilihan raya umum diadakan.

“Tan Sri Muhyiddin ketika itu adalah tokoh Umno yang boleh menyatukan orang Melayu ketika berpecah dua kem.

“MB Johor hari ini (Khaled) tidak boleh menyatukan orang Melayu di Johor dan beliau sendiri sebenarnya ‘give-up’ dengan apa yang berlaku di dalam Umno hari ini, cuma beliau tidak keluar Umno seperti dilakukan Tan Sri Muhyiddin. Beliau sendiri sedar apa yang berlaku dalam Umno.

“Malah di hati rakyat Johor juga sudah melihat Umno hari ini tersasar jauh daripada tujuan asal parti itu ditubuhkan,” dakwanya.

Justeru katanya, dalam PRU14 Bersatu Johor menyakini lebih 85% rakyat Johor menyokong Bersatu dan Pakatan Harapan di negeri itu.

“Isu-isu yang membelenggu kerajaan Umno-BN selama ini yang didedahkan pembangkang dan terkini laporan media mengenai tanah Felda di Jalan Semarak membuktikan lagi, satu persatu kegagalan pemerintahan Umno-BN sepanjang pemerintahannya berjaya didedahkan.

“Saya boleh katakan pada masa ini PPBM mewakili sebahagian besar orang Melayu di Johor.

“Dulu rakyat dan pemimpin Umno Johor berpecah kerana sokong kem Ku Li dan kem Tun Dr Mahathir, tetapi hari ini penjawat awam, rakyat dan pemimpin Umno secara ‘senyap’ menyokong PPBM kerana mereka menyokong perjuangan yang dibawa Tan Sri Muhyiddin dan Tun Dr Mahathir melalui PPBM ini untuk membawa perubahan pemerintahan yang lebih baik berbanding Umno-BN,” ujarnya.

Justeru katanya, isu-isu nasional dan tempatan membabitkan kerajaan Umno-BN telah mendorong rakyat negeri itu beralih menyokong Pakatan Harapan secara terbuka mahupun secara senyap dalam pilihan raya umum ke 14 akan datang.