Gelombang rakyat mahu perubahan, kemunculan 3M nilai tambah

Gelombang rakyat mahu perubahan, kemunculan 3M nilai tambah

Gelombang rakyat di Negeri Kedah untuk melihat perubahan tampuk kepimpinan negara akan menjadi penentu peluang Pakatan Harapan (PH) merampas semula Negeri Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-14 kali ini, kata Dr Ismail Salleh.

Dr Ismail Salleh

Timbalan Pengerusi PH Negeri Kedah itu berkata, walaupun di negeri itu mempunyai tokoh terbilang `3M’ dipersada politik seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan terkini Datuk Mahfuz Omar ia hanya nilai tambah kepada gelombang rakyat.

“Faktor calon bukan keutamaan untuk menang di negeri ini.Apa yang utama berlaku hari ini, gelombang rakyat mahukan perubahan, siapapun calon perkara nombor dua.

“Jika momentum rakyat ini dapat dikekalkan ia akan membuka peluang kepada pakatan pembangkang menawan kembali Kedah,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau ditanya mengenai sokongan pengundi kepada PH dan hasrat Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu yang bercadang untuk bertanding di tiga kawasan parlimen antaranya di Kubang Pasu,Langkawi dan Putrajaya pada PRU14.

Dr Mahathir pernah menduduki kerusi Parlimen Kubang Pasu selama enam penggal sejak 1974.

Namun bekas perdana menteri 22 tahun itu belum lagi mengumumkan secara rasmi kerusi Parlimen yang akan ditandinginya itu.

Begitu juga dengan pengaruh wakil rakyat Dun Ayer Hitam Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga bekas menteri besar Kedah ini menjadi faktor penolak sokongan pengundi kepada PH ekoran permainan politik kotor barisan kepimpinan Umno Negeri Kedah menjatuhkan Mukhriz pada 2016 lalu.

Dr Ismail berkata, Kedah yang pernah jatuh ke tangan pembangkang pada PRU12 lalu diyakini sekali lagi akan tumbang pada PRU14 jika dilihat kepada gelombang rakyat di negeri itu.

“Kedah akan jadi negeri sasaran ketiga selepas Selangor dan Pulau Pinang. Gelombang rakyat di Kedah terlalu tinggi kerana `mood’ rakyat yang mahukan perubahan untuk menolak BN.

“Saya sendiri meletakkan kekuatan kepada Kedah peluang menang begitu besar kerana gelombang dikalangan pengundi Melayu yang padu 90 peratus akan beralih kepada Pakatan Harapan.

“Kemudian harapan kita boleh diletakkan di Negeri Johor dengan gelombang rakyat dan sokongan kerusi campuran PH di negeri Johor dijangka PH boleh meraih kemenangan,” ujarnya yang mahukan Dr Mahathir bertanding di Kubang Pasu atau Langkawi berbanding di Putrajaya.

Ditanya mengenai Ahli Parlimen Pokok Sena yang menyertai AMANAH pada Khamis lalu, beliau berpandangan keputusan yang tepat dibuat oleh Datuk Mahfuz Omar.

Dr Ismail yang juga Pengerusi AMANAH Negeri Kedah, menafikan timbul rasa kurang senang dikalangan ahli di Pokok Sena terhadap Mahfuz yang didakwa tidak ikhlas untuk mengumumkan kemasukan dalam AMANAH lebih awal tanpa perlu menjadi calon bebas.

“Memanglah ada ahli di cawangan yang tidak berpuashati tetapi tidak ada penolakan terhadap Datuk Mahfuz di Pokok Sena,

“Rasa tidak puas hati itu perkara biasa,ini kerana Datuk Mahfuz tidak menyatakan pendiriannya. Saya yakin sebahagian besar masalah akan selesai dengan pengumumannya untuk menyertai AMANAH,” ujarnya.

AMANAH memperoleh tiga kerusi Parlimen pada PRU14 iaitu di Pokok Sena, Padang Terap dan Sik.

Mahfuz juga dikatakan akan terus mempertahankan kerusi yang disandangnya selama dua penggal di Pokok Sena untuk PRU14 kali ini.

Bahkan kata Dr Ismail lagi, sebagai ahli politik senior yang menyandang kerusi Pokok Sena, Mahfuz juga ujarnya, menjadi nilai tambah kebolehmenangan PH di negeri Kedah selain Dr Mahathir dan Mukhriz.

 

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote