Malaysia Dateline

Gelombang Semenanjung terhenti di Borneo, Warisan miliki kelebihan di Kimanis

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dijangkakan mempunyai peluang cerah memihak kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) berikutan pengaruh sentimen Melayu-Islam yang dilihat tidak relevan di Sabah.

Menurut Ketua Penyelidik dan Felo Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim, gelombang yang membawa kepada kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada empat siri PRK sebelum ini, sama sekali tidak akan berterusan di Parlimen berkenaan.

Menurutnya, di sebalik isu Melayu-Islam dan beberapa isu lokaliti yang timbul, ia sama sekali tidak akan menjamin lonjakkan sokongan kepada BN bagi memenangi pertembungan itu.

“Adakah gelombang ini akan berterusan di Kimanis pada 18 Januari ini? Saya tidak jangkakan begitu.

“Sehingga penamaan calon semalam, belum ada sebarang petunjuk gelombang yang melanda siri-siri PRK di Semenanjung yang memenangkan BN, telah sampai di Kimanis

“Gelombang itu tidak melanda, sentimen Melayu-Islam yang dipelopor BN-Pas juga tidak wujud. Semangat Penyatuan Ummah dan Muafakat Nasional juga tidak relevan,” katanya dalam kemaskini di laman sosial Facebooknya.

Tambahnya lagi, Umno Sabah boleh dikatakan ‘sakit teruk’ selepas sebahagian anggota mereka keluar menyertai Warisan termasuk Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kini Presiden Warisan), yang ketika itu berada dalam Umno dan BN.

Lebih menjejaskan sokongan, beliau berkata keadaan Umno di Sabah bertambah kritikal apabila hampir semua wakil rakyat dari parti pembangkang itu turut memutuskan untuk keluar parti selepas kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Beliau turut menyifatkan tiada petunjuk ditemui yang memberi bayangan parti pembangkang itu sudah pulih bagi menghadapi PRK Kimanis

Malah menurut hasil penelitiannya, lanskap politik Sabah berbeza dengan Semenanjung, yang menunjukan pola sokongan pengundi lebih cenderung kepada pemilik kuasa sekali gus memberi mata tambahan kepada kerajaan untuk menguasai Kimanis.

“BN lumpuh sepenuhnya di Sabah sebulan selepas PRU14 apabila semua komponennya keluar daripada gagasan itu, tinggal Umno bersendirian.

“Berpandukan pemboleh-pemboleh ubah tersebut, saya jangkakan Warisan mempunyai kelebihan untuk memenangi PRK Kimanis ini.

“Namun ini adalah hipotesis, untuk dapatkan data sebenar semestinya perlu turun ke lapangan mengumpul data daripada pengundi sebenar,” katanya.

Dalam pada itu katanya, dengan lokaliti yang secara relatifnya tidak terlalu luas serta hanya mempunyai sekitar 30 ribu pengundi, pengumpulan data yang sistematik daripada 380 pengundi sudah membolehkan pemenang sebenar P176 Kimanis diramal lebih awal sebelum 18 Januari.