Gelombang tsunami rakyat hingga kawasan kampung

Gelombang tsunami rakyat hingga kawasan kampung

Kesedaran rakyat di Melaka untuk berubah dengan menolak Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) turut tidak terkecuali berlaku di kawasan luar bandar.

Pengerusi AMANAH Melaka, Adly Zahari berkata, perkembangan mutakhir juga menyaksikan ramai pemimpin akar umbi Umno di kawasan kampung juga menyertai tsunami sokongan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Dua hari lepas (10 Mac) saya pergi Taboh Naning, Dun (Dewan Undangan Negeri) yang pengundinya paling kecil di Melaka sekitar 8,000 orang.

“Saya rasmikan penubuhan satu PDM (Pusat Daerah Mengundi) di Sungai Buloh. Yang datang sekitar 70 orang, 50 orang tempatan, selebihnya orang luar Taboh Naning.

“Antara yang hadir bekas ketua pemuda Umno cawangan dan bekas setiausaha Umno cawangan juga ahli-ahli jawatankuasa kampung,” katanya dalam Ceramah Pakatan Harapan di Bukit Baru malam tadi.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan gelombang perubahan tsunami rakyat bukan sahaja berlaku di bandar dan pinggir bandar malah penduduk di kampung juga tekad untuk menumbangkan Umno-BN.

N.05 Taboh Naning merupakan antara lima kawasan Dun di bawah Parlimen Masjid Tanah dengan jumlah keseluruhan pemilih 8,198 orang.

Disandang Datuk Latipah Omar dari BN, Taboh Naning bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru apabila Pas sejak akhir tahun lalu turut berhasrat meletakkan calonnya.

Dun Melaka mempunyai 28 kerusi dan enam Parlimen dengan jumlah keseluruhan 495,645 pemilih berdaftar.

Kedudukan semasa menyaksikan BN menguasai empat kerusi Parlimen manakala PKR dan DAP masing-masing satu kerusi.

Di peringkat Dun, BN memegang 21 kerusi manakala DAP enam dan PKR menang satu kerusi sahaja.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS