Malaysia Dateline

Gelora politik dalam Ramadan yang sepi

YA, Ramadan akan meninggalkan kita, banyak juga pesanan media sosial yang saya terima mengenai Ramadan terakhirlah, terawih terakhirlah dan macam-macam, video melankolik Ramadan yang akan meninggalkan kita.

Sebenarnya itu adalah Ramadan secara zahir, sejauh manakah fikrah Ramadan itu kita hayati sehingga fakulti Ramadan dapat diterjemah dan dipraktikkan ke dalam kehidupan seharian sehingga ke Ramadan akan datang (jika masih bernafas). Sejauhmankah nafas Ramadan dengan segala keberkatannya mengalir ke dalam diri.

Ramadan meninggalkan kita kali ini dalam situasi yang unik, berbeza, sesuatu yang tidak pernah kita alami selama kita hidup. Kelak hal-hal yang fenomenal itu dapat menjadi kisah untuk diceritakan kepada anak cucu pada masa mendatang. Ada mereka berkata ia adalah kelaziman baharu.

Untuk solat sunat rayapun harus mendapat jemputan, saya mungkin yang bertuah dapat menunaikan solat sunat hari raya bersama 30 jemaah lain di surau tempat tinggal saya. Tentunya tidak semeriah solat sunat idul fitri tahun lepas.

Sebab itulah ada yang mengatakan Ramadan tahun kali ini adalah tersangat sepi, surau dan masjd kosong, tiada terawih, moreh, tiada bazar Ramadan, tidak dapat keluar membeli belah di shopping mall, walaupun ada yang beralasan boleh membeli dalam talian.

Masjid dan surau yang kelazimannya ceria dengan makmum pada bulan Ramadan kini tiada kariah untuk memeriahkannya. Dahlah surau dan masjid begitu sepi pada setiap hari kecuali solat Jumaat, tetapi rumah-rumah Allah menjadi sunyi pada bulan Ramadan ini.

Sebenarnya Ramadan tahun tidaklah sepi, hakikatnya di sebalik “hijab Covid-19 (C-19) Allah swt mahu kita melihat ke dalam. Kehadiran C-19 sungguh unik, sepi di luar, riuh di dalam, mengimamkan solat terawih di rumah, komunikasi bersama keluarga, di samping merapatkan ukhuwah secara dalam kalangan keluarga.

Tidak banyak generasi manusia yang mendapat kesempatan untuk menjalani bulan Ramadhan dengan situasi yang jauh berbeza dibandingkan tahun-tahun sebelumnya.

Sepanjang kehidupan ini, kita meraikan Ramadan dan Eid Mubarak dengan penuh keceriaan luaran, Ramadan adalah pesta juadah dan membeli belah, berpuasa dan sambutan Eid Mubarak umpama ritual sahaja.

C-19 dihadirkan supaya kita menilai diri kita kembali, komunikasi tidak harusnya di luar diri sahaja, kita seharusnya intra komunikasi, konsep kendiri, komunikasi mengupas bawang sehingga ke empulur, mengenal diri, dan self-concept, melihat wajah di depan cermin antara ego, aku dan diri.

Sehingga kini, kalangan umat Islam meraikan Eid-Mubarak dengan penonjolan diri, dengan sesuatu yang “baharu” keakuan, baju baharuku, langsir dan sofa yang baharu, kereta baharu, tetapi kita tidak melihat ke dalam diri, kembali ke fitrah, `fatara’, apabila tibanya Raya Fitrah, kita “graduate” dengan diri yang baharu, mantap diri, buang keegoan, tidak perlu menunjuk-nunjuk, amal kesederhanaan, tidak melampau, kenali diri, kuatkan kerohanain, disiplin diri itulah kemenangan sebenar berpuasa.

Allah ingin isyaratkan dengan C-19, supaya kembali mengenal diri, mengenal hakikat menjadi khalifah Allah, maka dengan itu kita akan kenali Allah, ini bermakna Allah sayang dan ingat kita, Allah berikan kita peringatan terakhir ini supaya selepas ini jika datang malapetaka besar kita sudah diingatkan dengan C-19.

Tetapi jika kita masih merungut dengan tidak dapat berbeli belah, tidak mengunjungi sanak saudara, tidak dapat balik kampung, kita akan jadi umat yang lalai, lupa daripada mengingati Allah. Bacalah kehadiran C-19 dengan hati yang jernih dan bersih.

Namun sebaliknya dalam dunia politik, walaupun penularan C-19 dengan suasana Ramadan yang sepi tidak meninggalkan sebarang impak, ia cuba membataskan pertemuan bersemuka. Kerancakan politiik tanah air telah bergema, politik tidak mengenal apa erti PKP itu.

Setiap hari pada bulan Ramadan, kita akan dihidangkan dengan berita-berita yang mendebarkan, khususnya berkaitan dengan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PBPM), singkatan Bersatu, tokon maestro Tun Dr Mahathir, anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, PN, PH dan berkaitan.

Banyak perubahan berlaku semasa bulan Ramadan ini, perubahan tampuk pemerintahan di beberapa negeri yang menyaksikan Umno dan Pas berkuasa di Perak, Melaka dan terkini Kedah. Apa yang tinggal kepada Bersatu hanyalah secebis kuasa di Persekutuan.

Adakah sang politkus peduli dengan keberkatan Ramadan, nikmatnya, fikrahnya dalam mengukuhkan kerohanian diri, ternyata tidak nampak semua itu jika dillihat dari segi praktikal dan ternyata tiada penghormatan kepada bulan yang mulia ini. Jika tidak segala perubahan kepimpinan dan parti politik tidak akan berlaku. Segala pengukuhan kuasa PM dan pemerintahan PN di GLC dan agensi kerajaan tidak akan bertukar tangan.

Politik tidak mengenal agama, atau bulan yang mulia, ia hanya dihormati secara ritual atau formaliti, jika bertindak lambat, walaupun sesaat, musuh akan mengatur strategi lain, peluang mengukuhkan kuasa akan hilang, kesempatan PKP harus diambil.

Adakah sang politikus memperhatikan isyarat Allah itu, supaya melihat ke dalam diri, mengenali diri dan kesilapan kita. Dalam hal ini tentulah yang mereka fikirkan atau utamakan ialah kepentingan diri dan kuasa.

Itulah kisah sang politikus dan realiti politik di negara kita, menggunakan agama demi mencapai matlamat untuk berkuasa, bukannya meningatkan diri bahawa Allah-lah yang berkuasa. Puasa yang bertujuan membuang ego, kenali kelemahan dan menjadi hamba Allah seolah-olah tidak mempunyai makna kepada mereka.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada sidang editor, wartawan dan kakitangan Malaysia Dateline (MD) dan tidak lupa kepada pembaca MD. Maaf Zahir dan Batin.
Ends.
——————————
Kolumnis adalah seorang pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti, Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).