Gembleng kekuatan semangat bina semula negara Malaysia

Gembleng kekuatan semangat bina semula negara Malaysia

 

Ulang tahun kemerdekaan ke-60 ini rakyat perlu mengembeleng kekuatan semangat agar ianya memberikan makna sebenar kepada kemerdekaan iaitu kemerdekaan baru untuk bangkit membina semula negara Malaysia sebagai rumah dan tanah tumpah darah yang berdaulat untuk sekelian warganya.

Demikian pandangan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang kini berada di Arafah untuk  untuk melaksanakan wukuf yang merupakan salah satu dari rukun ibadah haji.

Kata beliau,  tidak lupa kepada Malaysia tanah air tercinta yang menyambut hari ulangtahun kemerdekaan kali ke 60 hari ini.

“Salam merdeka dari Arafah. Saya rakamkan rasa syukur kepada Allah SWT yang mengurniakan nikmat kemerdekaan dan kebebasan kepada negara dan rakyat Malaysia selepas ratusan tahun berada di bawah belenggu penjajahan.

“Disamping itu,saya juga dengan rendah diri berdoa kehadrat ilahi agar nikmat ini berkekalan,” ujarnya dalam kenyataan.

{loadposition myposition} Bagaimanapun beliau berkata, tidak mampu menyembunyikan rasa kesayuan dihatinya tatkala mengenangkan usia kemerdekaan Malaysia yang mencecah 60 tahun ini.

“Rasa nikmat kemerdekaan dan kebebasan seakan direntap dari jiwa sanubari kita apabila kita dipertontonkan dengan kepincangan,salahlaku pentadbir, penyelewengan dan ketidakadilan yang berlaku di dalam negara kita yang tercinta ini.

“Usia 60 tahun sewajarnya menjadikan sistem politik negara lebih diyakini dan pentadbiran pemerintah kita semakin matang.

“Ketelusan, integriti dan akauntabiliti seharusnya menjadi pegangan dan amalan seluruh warga Malaysia, dari pemimpin hingga rakyat biasa.

“Sikap toleransi, kesederhanaan dan juga saling menghormati pula sepatutnya mendasari amalan perhubungan antara rakyat berbilang kaum dan agama di bumi Malaysia yang tercinta ini.

“Sedarlah kita bahawa kemerdekaan akan hilang penghayatan dan roh sekiranya rakyat masih membiarkan diri dan negara terus ‘dijajah’ oleh rasa takut dan gerun untuk membawa obor perubahan ke landasan kebenaran yang lebih adil.

“Warna kemerdekaan juga akan pudar apabila kita gagal membebaskan negara dari belenggu korupsi, kleptokrasi dan juga kolusi.

“Dalam sejarah negara,tidak pernah kita *menyambut kemerdekaan dalam suasana genting serta penuh kehinaan* apabila MO1 (Perdana Menteri) sendiri terpalit dengan tuduhan penyelewengan dan penipuan yang mencecah jumlah yang besar.

“Maruah negara terus diperkotak katikkan selagi tidak ada tindakan dan penjelasan yang memuaskan hati kita sebagai *rakyat yang membayar cukai untuk negara* tentang bagaimana wang berjumlah jutaan ribu ringgit boleh berada di dalam akaun peribadi Perdana Menteri datangnya dari sumber yang meragukan. Jika disebut nama Malaysia atau Perdana Menteri selaku MO1 di pentas antarabangsa, maka secara automatiknya nama *1MDB dan Jho Low* dikaitkan sama. Apakah ini hasil yang boleh dibanggakan setelah 60 tahun negara kita merdeka?

“Kita boleh seketika bergembira dan berpesta dengan musim sambutan temasya kemerdekaan di seluruh negara, tetapi secara jujurnya adakah hati kecil dan dhamir kita benar-benar merasa tenteram ketika melihat keadaan yang berlaku dalam negara di saat kita dihimpit dengan tekanan kos sara hidup, kenaikan harga barang, ketidaktentuan harga petrol,cukai GST, kadar jenayah, gugatan ekstremisme* terhadap kerukunan hidup berbilang agama dan bangsa serta pelbaga lagi ketempangan yang berlaku di depan mata kita?

“Tolak korupsi, tolak kleptokrasi, tolak hipokrasi…Ayuh kita ‘bina semula negara’ ini demi masa depan anak cucu kita,” ujarnya.

CATEGORIES
TAGS