Malaysia Dateline

Gempa 6.2 magnitud landa Selat Taiwan

Gegaran dirasai di wilayah Fujian timur China, selepas gempa berkekuatan 6.2 magnitud melanda Selat Taiwan pada awal Isnin, lapor agensi berita Xinhua.

Kebanyakan penduduk di bandar seperti Fuzhou, Xiamen, Jinjiang dan Nan’an merasai gegaran kira-kira pukul 7.57 pagi.

“Saya pernah mengalami pengalaman kejadian gempa bumi sebelum ini tetapi tidak sekuat hari ini. Kali ini yang paling kuat pernah saya alami,” kata Yu Liyun yang tinggal di Nan’an.

Pelajar di beberapa bandar termasuk Xiamen dan Zhangzhou dipindahkan ke kawasan selamat.

Berikutan itu, China Railway Nanchang Group Co. Ltd. menghentikan perkhidmatan 40 kereta api buat sementara waktu.

Pusat Rangkaian Gempa China berkata gempa dengan kedalaman 20 kilometer itu pada kedudukan 23.28 darjah utara dan 118.60 darjah timur.

— BERNAMA