Gempa di barat daya Sumatera: Gegaran dirasai di Malaysia

Gempa di barat daya Sumatera: Gegaran dirasai di Malaysia

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor menerima tiga panggilan kecemasan akibat merasai gegaran berikutan gempa bumi kuat yang melanda barat daya Sumatera malam ini.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan gegaran pertama kira-kira 8.54 malam melibatkan Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 7, Petaling Jaya.

Beliau berkata panggilan kedua diterima 15 minit kemudian daripada penduduk di Blok A, Seksyen 26/38, Kampung Baru Hicom, Shah Alam.

“Panggilan ketiga pula diterima satu minit selepas itu dari kawasan Tiara Park Home, Taman Bukit Ria, Kajang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau, bagaimanapun berkata JBPM Selangor masih melakukan pemantauan terhadap kawasan terlibat bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini.

Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter berlaku di barat daya Sumatera pada 8.49 malam ini.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami terhadap Malaysia setakat ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Menurut jabatan itu, gempa bumi berkenaan berpusat kira-kira 649km Barat Daya dari Siberut, Indonesia, iaitu 1,163km Barat Daya dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

Berikutan kejadian itu, gegaran dirasai di beberapa tempat di Selangor dan Johor, menurut jabatan meteorologi berkenaan.

TAGS