Dunia hiburan tanah air digemparkan dengan pendedahan yang dibuat oleh isteri penyanyi dan pelakon era 80an, ND Lala iaitu Fauziah Sarman.
Tiada angin, tiada ribut, Fauziah telah membuat satu hantaran di Instagram yang mengundang pelbagai spekulasi tentang rumah tangganya.
Bersama kapsyen ‘penyondol’, ibu kepada penyanyi, Shila Amzah itu turut memuat naik gambar dan nama penuh seorang wanita.
“Penyondol…Siti Munirah Abdul Ghani, ndlalaofficial,” tulisnya.
Tidak memberi sebarang keterangan lanjut, ramai yang menduga wanita muda tersebut merupakan isteri baharu ND Lala iaitu madu kepada Fauziah.
Menjadi perbincangan hangat di media sosial, sosok ‘penyondol’ yang dimaksudkan Fauziah bukanlah orang asing tetapi rakan baik anaknya sendiri.
Difahamkan, Siti Munirah pernah bersekolah bersama Shila Amzah di Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak Indah.
Sempat bergelar sahabat baik, wanita tersebut juga sering berkunjung ke rumah keluarga mereka sebelum ini.
Baru-baru ini, Shila pernah meminta bantuan orang awam melalui akaun Instagramnya untuk mencari wanita tersebut.
“Dia pernah menjadi kawan baik saya di sekolah menengah. Kepada sesiapa yang mengenali dan masih menghubunginya, sila tampil.
“DM (Direct Message) saya sekarang. Ini antara hidup dan mati,” tulis Shila di postingannya baru-baru ini.
Baca juga: Berjaya kutip RM500 sehari di bazar Ramadhan, pengemis pilih tidur di hotel