Gempar! Ibu Shila Amzah sah bercerai lepas suami disondol rakan baik anak sendiri

Oleh WAN SITI AMINAH

Kemelut rumah tangga ibu bapa kepada penyanyi, Shila Amzah rupanya berakhir dengan penceraian selepas 34 tahun melayari bahtera perkahwinan.

Perkara menggemparkan itu didedahkan sendiri oleh ibu Shila, Datin Fauziah Sarman menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya, @mamazie68.

Menurut Fauziah, suaminya iaitu penyanyi terkenal era 1980-an yang dikenali sebagai ND Lala itu telah melafazkan cerai kepadanya pada 2 Ogos lalu.

Talak itu dilafazkan ND Lala di Masjid Ar Rahman, Bangsar, sebelum dimaklumkan kepada Fauziah menerusi aplikasi Whatsapp pada pagi Selasa.

Reda dengan takdir ditentukan Tuhan, perkara tersebut dikongsi oleh wanita yang berusia 55 tahun itu agar tidak timbul fitnah mengenai status perkahwinannya.

“Saya ingin memaklumkan kepada semua yang saya telah menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp yang dikirimkan pada pagi 8 Ogos 2023.

“Bagi perkahwinan yang terbina selama 34 tahun, lafaz cerai ini dibuat bekas suami pada tarikh 2 Ogos lalu dan saya dimaklumkan semalam (selasa) melalui WhatsApp.

“Saya menulis ini untuk menjelaskan status saya agar tidak timbul sebarang fitnah dan cuba mendidik jiwa saya untuk tidak menafikan kenyataan,” katanya.

Pada April lalu, Fauziah telah berjaya menyita perhatian ramai setelah memuat naik gambar hitam putih yang memaparkan seorang wanita bertudung.

Bersama kapsyen ‘penyondol’, ibu Shila Amzah itu turut berkongsi nama penuh wanita yang dipercayai merupakan isteri kedua kepada ND Lala.

Penyondol yang dimaksudkan Fauziah itu bukanlah orang asing bagi pasangan tersebut melainkan rakan baik kepada anak mereka sendiri.

Difahamkan, wanita berkenaan pernah bersekolah bersama Shila dan sering meluangkan masa berkunjung ke rumah keluarga mereka sebelum ini.

Terdahulu, Shila juga pernah meminta bantuan orang awam melalui akaun Instagram miliknya dalam usaha untuk mencari wanita terbabit.

“Dia pernah menjadi kawan baik saya di sekolah menengah. Kepada sesiapa yang mengenali dan masih menghubunginya, sila tampil.

“DM (Direct Message) saya sekarang. Ini antara hidup dan mati,” tulis Shila di postingannya.

Baca juga: Punyalah minat Shila Amzah, Ubai sanggup simpan duit sekolah nak beli album