Peguam sensasi, Siti Kasim telah membuat satu pendedahan mengejutkan menerusi satu siaran langsung di akaun Facebooknya baru-baru ini.
Siti Kasim mendakwa, seorang mekanik menemui objek disyaki bahan letupan di bahagian tayar belakang kereta Toyota Celica miliknya.
Aktivis hak asasi manusia itu kemudian segera bertindak menghubungi pihak polis di talian kecemasan 999 untuk memohon bantuan.
Ketua Polis Daerah Brickfileds, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor mengesahkan bahawa objek itu adalah bahan letupan termampat (IED).
Mencurigakan, objek yang diletakkan di tayar belakang kenderaan milik Siti Kasim itu adalah berupa dua buah botol plastik berisi wayar.
Pengesahan dibuat setelah satu ujian letupan dilakukan ke atas objek itu oleh sepasukan pegawai dari Unit Pemusnah Bom (UPB), Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut Abdul Shukor, kedua-dua botol plastik yang berisi bahan letupan itu bakal dihantar kepada pakar untuk dianalis dengan lebih lanjut.
“Bahan letupan ini akan dianalisis sebelum kesimpulan lebih terperinci dapat diberikan. Kita juga belum mengambil keterangan lanjut daripada pemilik kenderaan.
“Berdasarkan perbualan secara lisan, Siti Kasim memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai sebarang ancaman namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Pihak polis akan mendapatkan maklumat daripada semua saksi kejadian ini,” jelas Abdul Shukor memetik Berita Harian.
Terdahulu, hampir keseluruhan laluan berhampiran pusat servis kereta yang terletak di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur itu ditutup oleh pihak polis.
Hal ini bertujuan untuk melancarkan ujian pengesahan bahan letupan oleh UPB dengan dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur.
Dihalang oleh pita kuning, pihak polis membuka semula laluan dari arah Bangsar menuju ke Bukit Bandaraya itu pada sekitar jam 4.45 petang semalam.
Siti Kasim memaklumkan, kenderaan itu dihantar ke pusat servis untuk diselenggara sebelum bertolak ke Kelantan bagi menyelesaikan isu orang asli di negeri itu.
Baca juga: Gadis dituduh ambil lesen terbang, gagal ‘adjust parking’ sampai tarik nozel minyak