Malaysia Dateline

Genap seminggu kes aktif Covid-19 terus berkurang

Terdapat 73,324 kes aktif Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini sekali gus penurunan tujuh hari berturutan sejak 7 Jun lalu.

Angka kes aktif wabak yang berasal dari Wuhan, China itu termasuk 917 pesakit Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 452 kes memerlukan bantuan alat pernafasan.

Jumlah kes aktif tertinggi pernah dicatatkan pada 6 Jun lalu dengan 86,628 kes serentak dengan 30 kluster baharu tertinggi pernah direkodkan sejak pandemik melanda di negara ini.

Dalam masa sama, kes Covid-19 dalam negara juga berkurangan buat hari kedua berturut-turut, dengan sejumlah 5,304 kes dikesan setakat jam 12 tengah hari tadi.

Jangkitan kumulatif kini sudah meningkat kepada 657,508 kes dengan 64 lagi pesakit pandemik itu maut dalam tempoh 24 jam.

Seramai 8,163 pesakit lagi disahkan sembuh hari ini menjadikan jumlah kes pulih sebanyak 580,276 iaitu 88.25 peratus daripada keseluruhan kes.