Gencatan serangan 13 wakil rakyat Pas tidak jejaskan BN Selangor

Gencatan serangan 13 wakil rakyat Pas tidak jejaskan BN Selangor

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Mat Nazari Ahmad Dahlan berkata Umno-BN di negeri itu tidak terjejas walaupun 13 wakil rakyat Pas di Selangor menyokong pendirian gencatan serangan yang dicadangkan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. 

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Mat Nazari Ahmad Dahlan berkata Umno-BN di negeri itu tidak terjejas walaupun 13 wakil rakyat Pas di Selangor menyokong pendirian gencatan serangan yang dicadangkan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Malah kata beliau lagi, BN Selangor bersedia pada tahap satu lawan satu sekiranya berlaku kerjasama politik antara Pas dan Pakatan Harapan di negeri itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kemelut Pas dan Pakatan Harapan macam perangai budak setahun jagung.

“Pengalaman tidak boleh mengajar mereka. Pendirian mereka ikut mood.

“Rakyat sudah muak dan sangat faham akan permainan politik parti pembangkang sedemikian,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata, sama ada berlaku pertandingan satu lawan satu seperti yang direncanakan melalui gencatan serangan itu, bagi Umno-BN ujarnya akan terus mara ke hadapan.

” Sama ada mereka ambil pendirian mahu satu lawan satu atau berapa penjuru sekalipun, Umno-BN terus mara ke hadapan mengikut rancangan yang kita telah diatur.

“Kita sentiasa bersedia pada tahap satu lawan satu, kita sudah biasa dengan formula ini tiada masalah,” ujarnya.

Beliau juga tidak menolak cadangan Tuan Ibrahim itu dibuat salah satu sebabnya berpunca daripada kekalahan Pas dan Pakatan Harapan pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangar yang lalu.

“Strategi dan pendekatan boleh berubah. Oleh sebab mereka dah terlanjur, sudah bergaduh berantakan dalam perebutan kerusi PRK jadi kena ada taktik baru untuk bersaudara semula.

“Itu pilihan dan cara mereka, Umno-BN tidak hairan,” ujarnya.

Bagaimana pula sekiranya wujud `grand coalation’ antara parti baharu dicanangkan Tun Mahathir dengan Pakatan Harapan dan Pas untuk menentang Umno-BN dalam PRU?

Mengulas mengenai grand coalation ini Mat Nazari yang juga Adun Batang Kali enggan mengulas lanjut.

Sebaliknya beliau berkata,” Parti baharu itu belum ditubuhkan lagi. Kita tidak mahu jadi tukang sibuk buat promosi buta menjadi ejen banci untuk Tun Mahathir dan kumpulan penyokongnya bagi melihat tahap keyakinan dan kecenderungan rakyat,” ujarnya.

Sebagai rekod pada Rabu lalu Tun Mahathir berkata, parti baharu yang akan ditubuhkan itu akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Pakatan Harapan, Pas dan pertubuhan masyarakat sivil untuk meneruskan perjuangan menyelamatkan Malaysia daripada pemerintahan Umno-BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

 

TAGS