Ketika gendang pilihan raya semakin rancak dipalu, parti-parti dalam Pakatan Harapan mula menunjukkan kesepakatan dalam gerakkerja mereka.
(Gambar: Pemimpin muda PH berjalan sederap apabila turun ke bawah menemui rakyat dan meninjau rakyat yang tertindas secara bersama)
Di media sosial, tentera siber parti-parti dalam Pakatan Harapan berkerja sama menyerang penyelewengan dan Skandal Kapal LCS TLDM.
Di bumi nyata pula, para pemimpin muda PH bergerak bersama menemui rakyat terutama yang tertindas.
Hari ini, Pemuda PH menerjah negeri yang dikuasai oleh Pas sejak lebih 35 tahun lalu iaitu Kelantan ketika pelbagai pihak meramalkan pilihan raya akan diadakan seawal Oktober tahun ini atau awal tahun depan.
Ketua Pemuda AMANAH, Hasbie Muda, Ketua Pemuda PKR, Adam Adli dan Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP, Yong Sefura turut menyertai perhimpunan bersejarah itu.
Mereka turut menemui penduduk di Kampung Atas Paloh, Kota Bharu yang berhadapan dengan pengambilan tanah kediaman mereka tanpa pampasan yang sewajarnya dan mendengar taklimat tentang isu itu dari pemimpin muda tempatan.
“Pagi ini kami di Angkatan Muda Harapan bertemu di Kota Bharu, Kelantan bagi mendekati dan memahami dengan lebih jelas mengenai isu perobohan rumah di Kampung Atas Paloh.
“Angkatan Muda Harapan bertekad untuk membantu sehingga mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak berkuasa.
“Jelas satu kezaliman telah berlaku kepada rakyat, memberi pampasan yang tidak sewajarnya dan membiarkan penduduk tertanya tanya tanpa penjelasan yang adil,” kata kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh mereka.
Sementara itu, Pemuda AMANAH yang menjadi tuan rumah pertemuan ini berjanji akan membawa isu rakyat yang tertindas ke peringkat nasional.
“Pemuda AMANAH bersama AMK & DAPSY akan membawa isu rakyat tertindas ke peringkat nasional,” kata satu kenyataan Pemuda AMANAH dalam laman facebook mereka.
“Langsung tak masuk akal, penduduk asal dihalau dari tanah yang diterokai dan diberi pampasan hanya RM500.00 sahaja.
“Islam menentang kezaliman. Tapi parti mengaku Islam zalimi rakyat sendiri?” kata Hasbie Muda dalam kenyataannya.