Malaysia Dateline

Generasi muda dituntut imbangi kemahiran insaniah, teknikal dan emosi

Generasi muda dituntut supaya mempersiapkan diri dengan kemahiran teknikal, insaniah dan kecerdasan emosi yang tinggi bagi mendepani cabaran kehidupan masa depan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata ia susulan gambaran perunding bisnes antarabangsa, Deloitte bahawa berlakunya perubahan yang sangat pesat dan pantas dalam bidang teknologi terutamanya automasi dan inovasi.

“Kemahiran yang dianggap penting masa kini adalah keupayaan adaptasi, komunikasi, ketangkasan dan kemampuan membuat penilaian.

“Justeru, saya menyeru penerima dermasiswa (generasi muda) mengambil peluang di peringkat pendidikan tinggi untuk terus membangunkan kecemerlangan diri dalam disiplin ilmu, membangunkan kemahiran insaniah, mengukuhkan nilai murni ketimuran dan pegangan agama agar kelak menjadi insan yang berprinsip dan beretika,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan program dermasiswa My Brighter Future (MyBF) anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini malam tadi.

Turut hadir adalah Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah menyifatkan pemberian bantuan pendidikan oleh TNB itu sebagai langkah proaktif bagi membantu keluarga dari kelompok berpendapatan terendah untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Saya dimaklumkan TNB memperluas lagi skop tajaan dermasiswa MyBF dengan memberi tawaran kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), politeknik dan kolej komuniti.

Langkah ini amat wajar dengan mengambil kira bahawa ramai pelajar daripada golongan B40 akan meneruskan pengajian mereka di institusi terbabit,” katanya.

MyBF diperkenalkan TNB pada tahun lepas bagi membantu para pelajar daripada golongan isi rumah berpendapatan terendah (B40) dan sebanyak 945 pelajar dari tujuh universiti awam telah menerima manfaatnya.

Pelajar yang menerima bantuan itu tidak perlu membayar semula tajaan tersebut dan tidak dikenakan sebarang kontrak selepas menamatkan pengajian.

Pada tahun ini, MyBF diberikan kepada 1,000 pelajar untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik di universiti awam selain 1,000 pelajar peringkat diploma di universiti sama; 1,000 pelajar diploma di politeknik dan 538 pelajar peringkat sijil di kolej komuniti dalam bidang TVET.

Pelajar ijazah sarjana muda universiti awam menerima dermasiswa sebanyak RM10,000; pelajar diploma menerima RM9,000 manakala pelajar yang mengambil sijil komuniti diberi RM6,600 dan kesemua bantuan itu diterima mereka setiap tahun.