Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub berpendapat kelemahan yang ada pada masa ini menyebabkan kumpulan kartel yang memonopoli tender kerajaan dapat membuat kepungan harga dan menggunakan nama lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Timbalan Presiden AMANAH itu berkata, kepungan terhadap tender kerajaan itu juga boleh berlaku apabila wujud campur tangan segelintir pegawai atasan yang tidak beretika memberi ‘wahyu’ untuk memastikan individu tertentu memperoleh kontrak tersebut.
“Ini tidak mustahil kerana kebanyakan tender-tender kerajaan yang bernilai tinggi di urus tadbir pegawai berpangkat tinggi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram berkata, tidak dapat dibayangkan apa yang boleh berlaku jika sindiket tersebut mempunyai jaringan di luar negara yang ingin mengekploitasi institusi kerajaan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pegawai-pegawai yang menjadi ejen kepada sindiket terbabit tidak wajar dilantik memegang jawatan dalam kerajaan kerana membahayakan kedudukan negara apabila maklumat sulit dibocorkan kepada pihak luar.
“Akibatnya, pegawai-pegawai lain yang amanah dalam menjalankan tugas akan turut terpalit dalam hal seperti ini.
“Rakyat akan mula memandang rendah kepada penjawat awam, walaupun mereka menjalankan tugas dengan jujur dan berintegriti,” katanya.
Kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap tujuh suspek yang telibat dalam aktiviti sindiket yang mengguna dan mengawal lebih 100 syarikat sebagai sebahagian daripada cara memonopoli tender kerajaan.
Mereka dipercayai mendalangi penubuhan kira-kira 150 syarikat yang seolah-olah bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan tender kerajaan tetapi semua mempunyai kepentingan bersama.
Oleh sebab itu, Salahuddin menggesa kerajaan mengkaji penstrukturan semula sistem sedia ada bagi memastikan pihak yang terlibat sama ada ditawarkan tender atau menawarkannya adalah pihak yang sah mengikut peraturan dan undang-undang.