Malaysia Dateline

Genjatan senjata dialu-alukan, sekarang masa bantu bina semula Gaza

Pengumuman genjatan senjata di Gaza pada jam 2 pagi waktu Gaza semalam amat dialu-alukan dan tahniah diucapkan atas keberanian rakyat Palestin menentang kezaliman regim zionis namun

Presiden MAPIM( Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar)  berkata, sekarang masanya semua penduduk dunia membantu Gaza untuk membina semula kemudahannya.

Bercakap kepada Malaysia Dateline, Azmi berkata, pertahanan Masjid Al-Aqsa yang suci telah menjadi faktor penyatuan Palestin, Muslim dan non-Zionis Kristian serta Yahudi untuk menunjukkan penentangan yang kuat terhadap regim Israel zionis.

“Serangan 11 hari pengeboman di Gaza telah mengakibatkan 232 mangsa terbunuh termasuk lebih dari 60 kanak-kanak, 30 wanita dan lebih 1000 bukan dikalangan tentera yang cedera serta lebih 450 bangunan dan infrastruktur musnah.

Palestin musnah dibom Israel dan ia perlu dibina semula.

“Secara jelasnya ia memperlihatkan bagaimana regim zionis bertujuan untuk melumpuhkan Gaza. Ekoran itu kami menyeru agar masyarakat dunia mempercepatkan bantuan kemanusiaan dengan segera membangunkan kembali Gaza menjadi normal.

“Genjatan senjata sudah pasti tidak akan mampu menyembuhkan penderitaan 11 hari yang paling mengerikan terhadap orang awam terutamanya kanak-kanak, wanita, warga emas, wanita hamil dan warga yang cacat serta kurang upaya,” ujar beliau lagi.

Mohd Azmi turut berkata, MAPIM menuntut Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) supaya segera menyiasat tindakan jenayah perang oleh Israel dan tidak harus tunduk atau ditundukkan oleh bantahan Amerika setelah menyedari Israel diikat melalui pelbagai perjanjian dibawah undang-undang antarabangsa.

Tegas beliau, fakta sebenar Israel adalah penjajah dan setiap polisi yang ditegakkannya menindas Palestin dan kononnya Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mahu mendapatkan hak yang sama bagi Israel dan Palestin adalah tidak masuk akal sama sekali.

Katanya, MAPIM menolak sebarang kompromi dan mengutuk penjajahan serta pendudukan haram Yahudi secara terus-menerus di tebing barat yang merupakan strategi perluasan kawasan jajahan Israel kecuali usaha ini dihentikan dan tanah yang dirampas dikembalikan kepada Palestin.

Genjatan senjata ujar Mohd Azmi, tidak akan bertahan lama kecuali Israel menarik diri dari semua wilayah yang dijajah di tebing barat terutamanya di BaitulMaqdis serta pengepungan Gaza ditamatkan.