Malaysia Dateline

Genosid Palestin di Sabra, Shatila jenayah perang paling kejam dalam sejarah moden

37 tahun sudah berlalu. 16 September disambut setiap tahun oleh warga Palestin sebagai antara titik hitam dalam sejarah mereka dan kemanusiaan itu sendiri.

Lebih kurang 3,500 orang (laporan oleh wartawan Israel, Amnon Kapeliouk dalam tahun yang sama) dikatakan mati dibunuh di kem pelarian Shatila, dalam kejiranan Sabra, Lubnan.
Pembunuhan beramai-ramai ini pengingat buat warga Palestin terhadap kitaran penindasan yang tidak berpenghujung.

Genosid ini dilancarkan oleh militan Kristian Lubnan (dikenali dengan nama Phalange) dengan dukungan Israel, rentetan perang saudara dan pembunuhan presiden Lubnan, Bachir Gemayel.

Mereka mendakwa pembunuhan presiden itu dilakukan oleh pejuang Palestin. Target terhadap daerah Sabra kerana di situ berdiamnya kebanyakan rakyat Palestin dan pejuang pembebasan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Serangan ke atas Sabra dan Shatila dilakukan selepas berundurnya tentera pengaman dari pelbagai negara pada pertengahan tahun yang sama.

Sejak tahun 1970-an lagi, Lubnan bergelut dengan pelbagai konflik dan peperangan. Perang saudara merebut sokongan dunia luar, dan kuasa politik turut mengheret pejuang pembebasan Palestin PLO. Pada Jun 1982, duta Israel ke Britain Shlomo Algov didakwa hampir dibunuh PLO.

Namun, pemerhati antarabangsa menafikan hal ini. Israel tetap bertegas dan menggunakan alasan ini untuk menawan Lubnan, seterusnya menyerang kubu PLO di Beirut. Walau bagaimanapun, Beirut berada dalam kawalan tentera pengaman antarabangsa lantaran terdapat kem-kem pelarian di situ. Manakala, pejuang Palestin dikatakan telah dipindah keluar dari Beirut oleh tentera pengaman.

Selepas Lubnan ditawan Israel, presidennya dipaksa menandatangani perjanjian damai serta memindah keluar saki-baki pejuang Palestin.

Disebabkan perpecahan politik, presiden Lubnan enggan menandatangani perjanjian tersebut. Beliau mati dalam letupan di sebuah bangunan, sebaik sahaja tentera pengaman berundur.

Dengan matinya presiden Lubnan, Israel memegang kuasa penuh sebagai penjajah Lubnan. Namun, mereka enggan masuk ke barat Beirut. Sebaliknya mengarahkan sekutu mereka militan Kristian Phalange untuk masuk ke daerah tersebut bagi mengelakkan penglibatan secara langsung rejim Zionis.

Ini kerana, jika Israel masuk ke kem pelarian dan kubu PLO, mereka mencabuli gencatan senjata yang dipersetujui antara Israel dan Palestin.

Pada 15 September 1982, Menteri Pertahanan Israel Ariel Sharon sampai di Beirut. Beliau bertemu Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di sebuah bangunan hanya 200 meter dari kem Shatila. Mereka bersetuju untuk tidak masuk ke kem Shatila, sebaliknya mengarahkan militan Kristian menjalankan kerja mereka.

Menjelang tengah hari, Sabra dan Shatila telah dikepung tentera Yahudi. Lewat petang hari yang sama, rejim Zionis mula membedil Sabra dan Shatila dari kereta kebal mereka.  Menjelang lewat malam, militan Kristian tiba ke daerah Sabra diringi tentera Israel.

Sabra dan Shatila saksi keganasan rejim Zionis 37 tahun lalu.

Sebelum ketibaan mereka di Beirut, militan Kristian Phalange dilaporkan bertanya pada pegawai IDF: “Bagaimana harus kami mulakan: dengan merogol atau membunuh?”

Gerombolan pertama berjumlah 150 militan Kristian masuk ke Sabra dan Shatila jam 6 petang, dan bermulanya penyembelihan warga Palestin.

Pada 17 September 1982, ketika Sabra dan Shatila masih dalam kepungan Israel, beberapa orang wartawan dan pemerhati antarabangsa berjaya lolos masuk ke kem Shatila.

Janet Lee Steven, wartawan Amerika menulis:

“Saya menyaksikan wanita-wanita mati di dalam rumah mereka dalam keadaan kain mereka diangkat paras pinggang (bogel separuh badan) dan kaki mereka terbuka (terkangkang: merujuk kepada mangsa rogol dan bunuh); (mayat) pemuda yang ditembak bergelimpangan ditembok-tembok lorong; anak-anak kecil dikelar leher mereka; seorang wanita mengandung terburai perutnya dengan espresi wajahnya menjerit ketakutan; bayi kecil ditikam atau dipisahkan (dipotong) kemudian dicampak ke tempat pengumpulan sampah…”.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk tindakan ini. Selanjutnya pada Disember 1982, pbb dengan resolusinya menggelar perbuatan ini sebagai genosid dengan undian 123 berbalas 0!

Namun, beberapa perwakilan mempersoal penggunaan perkataan genosid bagi menggambarkan penyembelihan di Sabra dan Shatila. Antara perwakilan tersebut adalah dari Kanada dan Singapura. Israel atas penyembelihan ini, seterusnya menyaksikan Menteri Pertahanan Israel Ariel Sharon meletak jawatan.

 

*Penulis merupakan aktivis Group Palestine English (Twitter @MHBASjam).
Ikuti perkembangan terbaru Palestin melalui Twitter di @GroupPs_English atau carian tanda pagar #GroupPalestine untuk info dalam bahasa Inggeris dan #قروب_فلسطيني untuk info dalam bahasa Arab.