Malaysia Dateline

Genting Bhd serahkan Pusat Penjagaan Demensia kepada UM

Genting Bhd menyerahkan Pusat Penjagaan Demensia milik konglomerat itu kepada pasukan pengurusan baharu pusat penjagaan demensia, diketuai Bahagian Geriatrik, Universiti Malaya (UM).

Pengerusinya, Tan Sri Lim Kok Thay berkata pusat itu dibina susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Genting Bhd dan UM semasa sambutan Hari Pengasas Sulung Genting pada Februari tahun lepas.

“Genting Bhd sejak sedekad lalu terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan untuk rawatan terbaharu dan cara mengesan penyakit Alzheimer menerusi syarikat bioteknologi dan sains hayat.

“Kami berharap dengan pelaburan dalam syarikat-syarikat antarabangsa ini, ia akan memberi manfaat kepada Malaysia, menerusi pemindahan pengetahuan dan kerjasama dengan penyelidik dan universiti  tempatan, dengan membawa teknologi terkini ke Malaysia bagi memerangi penuaan dan penyakit serta mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Pusat Penjagaan Demensia kepada UM bersempena dengan sambutan Hari Pengasas Kumpulan Gentingmalam tadi.

Lim berkata pusat berkenaan dibina dan direka untuk menawarkan perkhidmatan penjagaan harian kepada mereka yang menderita penyakit demensia, dan akan dikendalikan secara amal sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Kumpulan Genting.

“Di peringkat global, statistik menunjukkan satu daripada 20 orang berusia 60 tahun ke atas akan mengalami demensia dan jumlah itu dijangka meningkat tiga kali ganda daripada 50 juta pada 2018 kepada 152 juta menjelang 2050.

“Menyedari tentang keperluan mewujudkan sebuah pusat penjagaan dan latihan kepada penjaga pesakit yang mengalami demensia, pusat seluas 825.3 meter persegi terletak di Segambut, Kuala Lumpur milik Kumpulan Genting ini diwujudkan dengan kerjasama antara Kumpulan Genting dan Universiti Malaya,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata kakitangan daripada Bahagian Geriatrik, UM memainkan peranan penting dalam memberi input untuk membina pusat itu dan memberikan latihan kepada penjaga dan kakitangannya.

Pusat Penjagaan Demensia itu mampu menampung sehingga 50 pesakit pada satu-satu masa, termasuk mempunyai kemudahan bilik rehat, ruang solat, bilik fisioterapi serta rangsangan kognitif, bilik mesyuarat dan pejabat.

Kos membina dan melengkapkan kemudahan serta kos operasi berterusan di pusat tersebut akan ditanggung oleh Kumpulan Genting.

“Pusat ini yang dijangka memulakan operasi dalam masa terdekat akan menyediakan penjagaan harian kepada mereka mengalami demensia agar anggota keluarga mereka dapat terus bekerja, memperoleh pendapatan dan menjadi anggota masyarakat produktif.

“Pusat ini juga menyediakan latihan kepada penjaga, anggota keluarga dan kumpulan profesional terlibat secara langsung dalam penjagaan demensia serta tempat bagi penjaga berkongsi maklumat mengenai penjagaan demensia,” kata Lim.