Genting catat kerugian dalam suku ketiga

Genting catat kerugian dalam suku ketiga

Genting Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM275.80 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2018, berbanding dengan keuntungan bersih berjumlah RM190.04 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, hasil meningkat kepada RM5.38 bilion daripada RM5.04 bilion, disumbangkan terutamanya oleh peningkatan hasil dalam sektor peranginan dan hospitaliti di Malaysia, serta perladangan dan hartanah.

Genting dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, berkata hasil daripada Resorts World Genting (RWG) menokok sebanyak 26 peratus dari tahun ke tahun pada suku ketiga 2018, perolehan keseluruhan bahagian perladangan melonjak akibat pembuatan hiliran (63 peratus dari tahun ke tahun), manakala hasil dari bahagian hartanah bertambah 40 peratus dari tahun ke tahun.

Genting berkata kerugian kumpulan sebelum cukai pada suku ketiga 2018 berjumlah RM268.6 juta berbanding dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM818 juta pada suku ketiga 2017.

Kerugian ini berpunca daripada rosot nilai sebanyak RM1.83 billion dalam pelaburan Kumpulan Genting Malaysia Bhd (GENM) membabitkan nota janji hutang yang diterbitkan oleh Mashpee Wampanoag Tribe bagi membiayai projek pembangunan Tribe, iaitu sebuah resort perjudian bersepadu di Taunton, Amerika Syarikat.

Melangkah ke hadapan, Genting menjangkakan pengumuman semakan semula ke atas duti dan yuran lesen kasino dalam Belanjawan 2019 dan akan memberi kesan kepada pendapatan GENM secara terkumpul pada tahun depan.

“Kumpulan GENM sedang menyemak semula strategi pemasarannya dan akan memperkemas operasi serta struktur kosnya bagi mengurangkan kesan kenaikan cukai,” katanya.

Tiada dividen interim dicadangkan untuk suku ketiga 2018.

Loading...

Sementara itu, Genting dalam makluman berasingan, mengumumkan bahawa Timbalan Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Tun Mohammed Hanif Omar akan bersara pada 31 Disember 2018.

Katanya juga, dua Pengarah Bebas Bukan Eksekutif iaitu Tan Sri Dr. Lin See Yan dan Datuk Chin Kwai Yoong, akan bersara menjelang mesyuarat agung tahunan syarikat pada 2019, selaras dengan perlembagaan syarikat.

“Mereka tidak memohon untuk dilantik semula,” katanya.