Genting Malaysia catat kerugian bersih bagi 2018, isytihar dividen khas

Genting Malaysia catat kerugian bersih bagi 2018, isytihar dividen khas

Syarikat kasino dan hospitaliti Genting Malaysia Bhd mencatatkan kerugian bersih RM19.59 juta bagi tahun kewangan 2018 berbanding keuntungan bersih RM1.16 bilion pada tahun sebelumnya, disebabkan terutamanya penurunan nilai aset sebanyak RM1.83 bilion.

Hasil meningkat kepada RM9.93 bilion daripada RM9.33 bilion sebelumnya, kata syarikat itu.

Bagaimanapun, keuntungan bersih suku keempat meningkat sebanyak 60 peratus tahun ke tahun kepada RM720.14 juta walaupun hasil turun sedikit kepada RM2.51 bilion berbanding RM2.54 bilion sebelumnya.

Lembaga juga mengisytiharkan dividen tunggal khas 8.0 sen sesaham dan cadangan dividen tunggal akhir 5.0 sen sesaham.

Sekiranya diluluskan, jumlah dividen bagi tahun itu akan berjumlah 19.0 sen sesaham biasa, termasuk dividen tunggal interim 6.0 sen sesaham. Ini merupakan kenaikan 12 peratus daripada tahun sebelumnya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai keputusan kewangan 2018 itu, Genting Malaysia dalam satu kenyataan berkata perniagaan liburan dan hospitaliti mencatatkan kenaikan hasil 13 peratus kepada RM6.59 bilion dan peningkatan 27 peratus dalam pendapatan larasan sebelum faedah, pencukaian, susut nilai dan pelunasan  (EBITDA) kepada RM2.29 bilion.

Ini disumbang terutamanya daripada peratusan pegangan tinggi dalam segmen perniagaan sederhana hingga premium.

Mengenai prospek masa depan, Genting Malaysia berkata kumpulan itu yakin dalam berhati-hati dengan potensi peluang dan pertumbuhan industri liburan dan hospitaliti.

Di Malaysia, persekitaran operasi dijangka mencabar ketika kumpulan tersebut menyesuaikan diri dengan landskap operasi fiskal baharu.

— BERNAMA