Malaysia Dateline

Geopolitik Hindutva

 

Sejak Narendra Modi dan Parti Bharatiya Janata Parti (BJP) memerintah India pada 2014 perkataan Hindutva telah muncul dan diperbincangkan di serata dunia. Istilah ini digunakan bagi mengambarkan falsafah berasaskan politik-agama yang muncul pada awal abad ke-20.

Bahkan praktik Hindutva lebih ketara dalam dua isu besar yang melibatkan umat Islam di India hinggakan dunia Islam berasa gusar dengan dua perkembangan yang berlaku.

Pertama, tindakan drastik Perdana Menteri India, Narendra Modi yang menarik kembali status autonomi yang memberikan keistimewaan kepada masyarakat di Jammu dan Kashmir.

Ia dinamakan Artikel 370 yang diperkenalkan oleh Menteri dalam Negeri India, Amit Shah kemudian ditandatangani oleh Presiden Ram Nath Kovind dalam satu upacara di India pada tahun 1950-an.

Artikel ini memberikan status khas kepada Jammu dan Kashmir yang berpunca daripada komposisi demografinya  yang mempunyai masyarakat bermajoritikan umat Islam.

Penarikan status autonomi  ini menunjukkan bahawa  kedua-dua wilayah adalah wilayah biasa di dalam India dan mengesahkan bahawa India mempunyai kedaulatan yang mutlak terhadap kedua-dua wilayah tersebut.

Pemerhatian penulis menunjukkan penarikan status seperti sudah dirancang bagi menurunkan status autonominya kepada status wilayah biasa kerana beliau dan parti pimpinannya BJP sudah lama menentang artikel 370, malah ia menjadi salah satu janji dalam manifesto pilihan raya lepas.

Modi dan BJP berpandangan bahawa Artikel 370 perlu dimansuhkan bagi memastikan Kashmir dapat berintegrasi dengan keseluruhan India serta mempunyai sentimen nasionalisme terhadap India.

Isu Kashmir juga dilihat sebagai sebagai titik tolak kepada ketegangan hubungan antara India dan Pakistan kerana melibatkan sempadan dan kedaulatan yang membawa kepada konflik senjata nuklear.

Kedua ialah perkembangan berkaitan dengan tindakan kerajaan India melakukan pendaftaran kewarganegaraan baharu di wilayah Assam. Deraf pendaftaran kewarganegaraan baharu ini menyatakan hanya penduduk yang mempunyai dokumen dan keturunan mereka tinggal di Assam sebelum tahun 1971 sahaja layak mendapatkan taraf kerakyatan.

Ini kerana pada tahun 1971, berjuta penduduk Bangladesh melarikan diri ke Assam kesan daripada peperangan yang berlaku. Tindakan Modi ini merupakan usaha meningkatkan sokongan dalam kalangan penduduk majoriti yang beragama Hindu. Jika hal ini diteruskan, hampir dua juta penduduk Assam yang beragama Islam akan kehilangan kerakyatan mereka.

Terkini dan paling kontroversi ialah pada 12 Disember lepas apabila kerajaan India telah melakukan pindaan terhadap Undang-undang di bawah Akta Kewarganegaraan 1955. Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) itu akan memberikan kewarganegaraan kepada kalangan yang beragama Hindu, Sikh, Buddha, Parsi dan Kristian dari negara-negara Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan.

Penganut agama Islam dikecualikan daripada Undang-Undang ini. Tindakan ini pastinya sesuatu yang mengejutkan kerana ia dilihat bertentangan dengan prinsip pembentukan negara India yang berpegang kepada republik sekular di mana agama seseorang tidak menjadi asas kewarganegaraan.

Secara luarannuya, Akta Pindaan Kewarganegaraan ini tidaklah menjejaskan kedudukan warganegara India kerana hanya menyentuh kalangan yang berada di negara-negara yang disebutkan. Namun jika diperincikan, ia tetap memberikan petunjuk bahawa tindakan ini merupakan satu tindakan anti-Islam. Isunya ialah akta ini hanya memberikan perhatian kepada kalangan yang bukan beragama Islam. Bagaimana dengan kalangan orang Islam dari negara lain yang berada di India seperti orang Rohingya.

Secara tersirat ia dilihat sebagai satu rancangan kerajaan BJP di bawah pimpinan Modi yang sememangnya mempunyai sejarah anti-Islam yang kuat untuk menjadikan India sebagai sebuah negara Hindu.

Kedua perkembangan yang berlaku ini amat berkaitan dengan ideologi dan falsafah Hindutva yang dijelaskan di bawah.

Ini kerana bagi penulis, dimensi ideologi dan falsafah Hindutva amat berkaitan dengan wawasan geopolitiknya. Hindutva diasaskan di atas agama yang mempertahankan keunikan nilai dan budaya tradisional serta penolakan liberalisme Barat yang berasaskan identiti. Dalam hubungan ini pengaruh Barat dan Islam didakwa sebagai sesuatu yang merbahaya bagi mereka.

Pada masa kini, BJP yang memerintah India dan menjadikan Hindutva sebagai trend konservatif yang popular di India, dan lebih menggerukan lagi ia dikaitkan dengan strategi geopolitik India.  Dalam hal ini BJP telah menjadi Hindutva sebagai strategi geopolitik dalam memerintah negara, yang terlihat dalam kes ketara iaitu pengambilalihan Khasmir yang autonomi itu dan akta pindaan kewarganegaraan.

Kedua isu kontroversi di atas jelas merangkumi dalam geopolitik Hindutva.

Menurur seorang ahli falsafah India, Vinayak Damodar Savarkar, yang menciptakan istilah Hindutva sebagai negara `Fatherland’ dan negara suci. Dalam hubungan ini, tanah suci mereka tidak seharusnya diperkosakan oleh orang Islam.

Inilah adalah perwujudan geografi (tanah) suci dan beranggapan kaum atau agama lain sebagai dihinakan dan tidak berhak untuk mendokumenasi sebagai sejarah besar di India. Tanggapan ruang bahawa seluruh wilayah India  sebagai tanah suci atau kudus dengan mengukuhkan patriotisme dan berkonsepsi bahawa penganut agama lain sebagai musuh daripada tradisi agama mereka.

Dalam ruang India yang sedang dibina, Kristian dan orang Islam akan dianggap warga-negara kelas kedua yang merupakan suatu reformasi dalam sistem kasta yang meliputi penganut agama pula. Walaupun ramai sarjana Hindu mengetahui India juga adalah tanah suci bagi umat Islam kerana telah melahirkan ramai ulama dan ahli sufi yang terbilang seperti Syah Waliullah, Abul Hasan Ali Nadwi dan Al Biruni.

Salah satu aspek penting darpada idea geopolitik Hindutva ialah Akhand Bharat atau India Bersatu. Ia melibatkan perwujudan negara tunggal, yang menyatukan seluruh wilayah bekas penjajah British termasuk Bangladesh dan Pakistan.

Ia menyamai negara Yahudi Raya yang merangkumi Jazirah Arab kerana orang Yahudi pernah tinggal di Madinah. Bahkan mengikut pengasas ideologi Hindutva, sempadan asalnya berada dalam lingkungan Indus sehingga lautan ke timur dan menjangkau sehingga ke Himalaya (termasuk Khasmir) sehingga ke Kanyakumari.

Dalam kefahaman sekarang, dominasi Hindu ini adalah kemunculan negara Hindutva merangkumi Pakistan, Nepal, Bhutan, Myanmar dan Sri Lanka. Pada Disember 2015, semasa temubual dengan TV Al Jazeera, Setiusaha Agung BJP, Ram Madhav berkata beliau berharap akan mewujudkan gagasan India Raya.

Apa yang diungkapkan di atas adalah selaras dengan kenyataan Madhav mengenai masalah geopolitik dalam melahirkan Akhand Bahrat, India Bersatu yang merangkumi India, Pakistan dan Bangladesh.

Sekarang para pembaca dapat memahami kenapa India bertindak menghapuskan akta penghapusan istimewa kepada Khasmir dan Akta Pindaan Kerakyatan India yang merangkumi penganut beragama Hindu terutama dari Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan yang menetap di India walaupun tanpa dukomen tetapi diberikan peluang yang lebih luas untuk menjadi warganegara India serta melalui proses jalan pintas.

Melalui cara ini, hanya enam tahun sebagai syarat berbanding 12 tahun sebelumnya untuk membolehkan seseorang layak memohon kewarganegaraan secara naturalisasi.

Lebih penting lagi mereka kemudiannya akan dibenarkan  menjadi pengundi dan secara langsung akan menentukan kemenanagn BJP dalam pilihan raya dan mengukuhkan kedudukan Narenda Modi sendiri.

Ideologi Hindutva ini tidak lari daripada fahaman realisme dan penujuan ke arah kuasa ketenteraan sebagai penanda aras utama dalam berhadapan dengan konflik dan pertahanan.

Sejak kemenangan BJP dalam pilihan raya, hubungan kedua negara ibarat isi dengan kuku. Bahkan Netanyahu adalah antara pemimpin dunia awal yang mengucapkan tahniah kepada Modi, dan kedua-dua telah menjalinkan hubungan ketenteraan dan keselamatan secara strategik.

Di samping itu, India banyak mengimport dan membeli peralatan ketenteraan dari Israel dan Rusia. Salah satu konsep yang dikembangkan melalu ideologi dan falsafah Hindutva ini ialah Swaraj ialah pengurusan kendiri, sesuatu yang pemting dalam budaya politik India.

Walaupun konsep ini dikembangkan oleh bapa kemerdekaan India, Mahatma Ghandi dalam berkerajaan sendiri dan kedaulatan tetapi bagi ideologi Hindutva, ia bermaksud kemerdekaan budaya sebagai tambahan kepada kemerdekaan politik.

Ia juga diertikan sebagai penolakan budaya, sosial, politik Barat dan agama Islam yang akan menjadi musuh kepada India. Swaraj adalah kedaulatan ekstrim, kedaulatan kepada eka tamadun iaitu penerimaan hanya tamadun berasaskan Hindutva.

Tidak seperti parti Kongres yang menyokong perjuangan Palestin, BJP lain pula, ia menjalin hubungan akrab bahkan strategik dengan Israel dan Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu.

Pada hari ini Israel adalah pembekal peralatan ketenteraan kedua terbesar ke India (selepas Rusia). Dalam perkembangan terkini India dengan ideologi Hindutvanya semakin intim dengan Isreal, ingin mengukuhkan agenda perkauman seperti Israel dengan Yahudinya.

Oleh itu ia dapat disamakan dengan ideologi dan fahaman Zionisme. Dalam hubungan ini, apa yang berlaku di India sekarang, seolah-olah India telah di-Israelikan oleh Yahudi Zionis. Bahkan sejak sedekad yang lalu, India telah merubah daripada negara sekular yang menghormati kepelbagaian agama terutamanya Islam, kepada negara yang bermusuh dengan agama minoriti terutamanya Islam. Langkah mereka ini bagaikan pasukan keselamatan Israel, menyerang, menindas, merobohkan instituisi agama dan India lebih teruk sanggup bermusuh dengan rakyat sendiri.

Khasmir telah dijadikan Gaza atau Palestin kedua. Daripada sebuah negara yang memperjuangkan hak rakyat Palestin kini sebuah negara yang akrab dengan Yahudi Zionis. Hindutva memang menyanjungi ideologi rasis Zionis terhadap rakyat Palestin. Dan inilah ideologi rasis Hindutva yang menjadi dasar BJP.

Nampaknya geopolitik Hindutva mahu memunculkan India sebagai  kuasa besar, setara dengan China. Ia sedang berusaha mewujudkan jalan suteranya sendiri sama ada melalui laut dan darat dan muncul sebagai kuasa imperialis yang bersedia untuk berperang dan menyerang mana-mana yang menentangnya atau dengan rakyat sendiri pun.

*Kolumnis adalah Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel) dan Felo Institut MASA.