Malaysia Dateline

Gerai buah-buahan segar Fama catat nilai jualan lebih RM120 juta tahun lepas

Nilai jualan keseluruhan yang dihasilkan Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di seluruh negara berjumlah RM123.8 juta sepanjang tahun lepas.

Pengerusi Fama, Ishak Ismail berkata ketika ini terdapat 339 GBBS di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak yang diperkenalkan bagi mengatasi masalah lambakan buah-buahan terutamanya pada musim kemuncak yang seterusnya membantu meningkatkan nilai pendapatan usahawan tempatan.

“Kalau kita lihat dari segi pendapatan usahawan GBBS ini, berlaku peningkatan pendapatan antara 18 hingga 33 peratus dan ada di antara mereka yang telah mencapai peningkatan pendapatan sehingga 125 peratus apabila mengusahakan gerai berkenaan.

“Jadi, dengan adanya GBBS ini, ia mampu meningkatkan nilai jualan dan pendapatan usahawan melalui konsep keseragaman dan kebersihan kedai yang telah ditetapkan oleh Fama,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke GBBS Teluk Intan, di sini, hari ini.

Ishak berkata pihaknya merancang untuk menambah 29 lagi GBBS pada tahun ini dengan menyasarkan nilai jualan sebanyak RM150 juta.

Sementara itu, katanya, Fama akan melancarkan 14 ‘signature’ produk tempatan yang akan diketengahkan ke seluruh negara dan juga ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, ketika ini perkara itu masih di peringkat jawatankuasa penilaian sebelum dilancarkan pada pertengahan tahun ini.

“Untuk produk dari Perak, kita telah mengenal pasti produk yang akan diketengahkan sebagai ‘signature’ produk iaitu rendang tok dan biskut kelapa.

“Jadi, kita akan melakukan pelabelan pembungkusan dan penggredan baharu ke atas kesemua produk tersebut supaya ia mampu menarik minat orang ramai khususnya di peringkat antarabangsa,” katanya.

— BERNAMA