Malaysia Dateline

Gerai, penjaja tepi jalan di Kelantan diarah tutup mulai esok

Kerajaan Kelantan mengarah semua gerai atau penjaja tepi jalan, penjaja bergerak dan seumpamanya ditutup mulai esok berikutan peningkatan kes positif COVID-19.

Perkara itu diputuskan dalam Perbincangan Penyelarasan Khas Covid-19 yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob.

Pendemik Covid-19 semakin teruk berlaku di Kelantan, terkini terdapat 3 kampung di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan diperketatkan PKPD, bagi membendung jangkitan ini.

Katanya, aktiviti di gerai-gerai tepi jalan yang sedang beroperasi sekarang tidak dapat mengawal pematuhan SOP dengan baik menyebabkan risiko jangkitan Covid-19 semakin tinggi.

“Oleh itu semua penjaja bergerak yang menjalankan perniagaan di tepi jalan akan diarahkan tutup bermula pada hari Ahad, 9 Mei 2021.

“Pihak PBT diminta untuk mengeluarkan notis kpd semua penjaja ini pada hari Sabtu, 8 Mei 2021,” katanya.

Larangan menjaja tepi jalan ini akan dimasukkan kedalam SOP PKP Negeri Kelantan dan akan dibentangkan dalam jawatankuasa teknikal peringkat MKN persekutuan pada hari Sabtu, 8 Mei 2021 sebelum diguna pakai.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan juga akan bermesyuarat pada 8 Mei 2021, bagi menyelaraskan aktiviti penguatkuasaan.