Malaysia Dateline

Gerak akan lawan 120 kerusi ditandingi Pejuang

Pertubuhan Perubahan Rakyat Malaysia (Gerak) yang pernah menentang keras Tun Dr Mahathir tidak lama dahulu hari ini masih kekal dengan pendirian itu apabila mahu meletakkan calonnya bagi melawan calon Pejuang pada pilihan raya umum (PRU) nanti.

Tun Mahathir telah memaklumkan Pejuang akan meletakkan calonya di 120 kawasan Parlimen pada PRU ke-15 nanti.

Tun Mahathir juga menyebut kesemua calon Pejuang adalah Melayu kerana Pejuang berteraskan parti Melayu.

Pengasas Gerak Ezam Mohd Nor berkata, ini adalah politik usang Mahathir yang menggunakan politik kaum untuk meraih undi.

“Kali terakhir beliau gunakan taktik ini ialah di Kongres Maruah Melayu pada tahun 2019, langkah pertama beliau menjatuhkan kerajaan PH pada ketika beliau masih PM7.

“Sepertimana kami mula menentang keras Mahathir bermula di Kongres Maruah Melayu itu, kami akan menentangnya sekarang,” kata beliau.

Tegas Ezam, politik berasas kaum dan sentimen agama adalah bertentangan dengan prinsip perubahan dan reformasi.

“Justeru menjadi kewajipan kita menentangnya.

“Malah, partai-partai politik yang menggunakan kaum dan agama itu pernah bersatu di Kongres Maruah Melayu dengan matlamat menjahanamkan kerajaan dan agenda reformasi.

“Malangnya kita membiarkan ketika itu. Apakah kita mahu biarkan kali ini? Bagi Gerak, tidak sama sekali,” katanya lagi.

Justeru katanya, Malaysia sudah menjunam jatuh disebabkan penindasan golongan elit politik yang korup dan rasuah terhadap semua kaum.

“Tidak ada penindasan kaum dan agama di negara ini, yang jelas dan semakin terpampang ada di depan mata kita adalah penindasan orang besar yang rasuah terhadap orang kecil tanpa mengira kaum.

katanya, PRU ke-15 adalah medan kritikal untuk selamatkan rakyat terutama orang kecil di Malaysia yang sengsara selama ini.

“Kita mesti tegas dan tidak boleh kompromi lagi dengan orang besar dan parti-parti politik yang menggunakan kaum dan agama untuk mendapatkan kuasa dan menyalahgunakan kuasa itu untuk terus menindas rakyat semua kaum.