Malaysia Dateline

Gerak hati cikgu akhirnya terjawab – Ada rahsia besar murid Tahun Satu ini sentiasa pakai jaket

Gerak hati ‘tak sedap’ seorang cikgu terhadap murid Tahun Satu yang sentiasa memakai jaket dalam kelas akhirnya terjawab apabila rupa-rupanya dia menjadi mangsa dera bapa sendiri.

Si cilik lelaki di Sungai Petani, Kedah itu dipercayai memakai jaket hanya untuk menyorokkan kesan luka dan kecederaan akibat dipukul bapanya yang berusia 29 tahun.

Namun, sikap prihatin seorang guru kelas mendapati ada kesan merah di muka muridnya itu jam 8 pagi semalam.

Beliau kemudiannya memaklumkan kejadian terbabit kepada guru lain sebelum membuat pemeriksaan terhadap mangsa.

Mengejutkan apabila seluruh tubuh kanak-kanak berumur tujuh tahun itu terdapat kesan calar selain luka telinga, bengkak siku dan kesan lebam serta bibir terkoyak dipercayai akibat dipukul, dipetik BH Online.

Susulan itu, polis menahan bapa murid berkenaan jam 8 malam tadi dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, polis turut merampas sebatang penyapu, rotan panjang dan senduk putih yang dipercayai digunakan ketika memukul anaknya.

Dalam hal berkaitan, Ketua Polis Daerah Kuala Muda dilapor memaklumkan siasatan dijalankan mengikut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Untuk rekod, sebanyak 1,055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara bermula Januari sehingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, penderaan fizikal paling tinggi direkodkan dengan 578 kanak-kanak menjadi mangsa diikuti 417 kes penderaan seksual dan 60 kes adalah penderaan emosi.

Berdasarkan jantina pula, sebanyak 706 kes membabitkan kanak-kanak perempuan dan 349 kes kanak-kanak lelaki.

Bagi tempoh sama iaitu enam bulan pertama tahun ini juga, statistik pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan terdapat 1,348 kes kesalahan seksual kanak-kanak direkodkan termasuk kes rogol berkumpulan, sumbang mahram, seks luar tabii dan cabul.

Eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak pula dilapor semakin meningkat terutama kesalahan pornografi yang membabitkan perkongsian dan capaian kepada bahan pornografi golongan itu.

Baca juga Guru ini dedah murid Darjah Satu dah ‘advance’, tapi rupanya ada umur 4 tahun pun dah ketagih video lucah

Baca juga Anak derhaka betul! Sudahlah berhutang sebab judi, hilang begitu saja, ibu bapa pula resah diburu along