Malaysia Dateline

Gerakan anggap penyatuan Umno-Pas, kongres pertahan maruah Melayu tidak sihat

Parti Gerakan Rakyat Malaysia menganggap perkembangan politik semasa sebagai kurang sihat dalam kemajmukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya tidak akan bertoleransi dengan mana-mana parti politik yang hanya mementingkan agenda satu kaum semata-mata.

“Situasi politik hari ini kita boleh lihat apabila UMNO-Pas umumkan sudah bergabung, selepas itu, diteruskan Pakatan Harapan yang mana Perdana Menteri akan mengadakan konvensyen mempertahankan maruah orang Melayu.

“Kita nampak situasi ini kurang sihat kerana negara kita berbilang kaum dan perspektif berbilang agama serta budaya ini, kita biasa katakan perpaduan dalam kepelbagaian,” ujarnya.

Dominic berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Negeri, Pemuda dan Wanita Wilayah Persekutuan di Ibu pejabat Gerakan di ibu negara malam tadi.

Untuk rekod, Gerakan mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN) untuk menjadi parti bebas pada 23 Jun tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau berkata, disebabkan keadaan politik semasa sekarang, Gerakan akan berusaha menjadi alternatif kepada rakyat dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

“Oleh itu, persidangan ini kita umumkan Gerakan akan menjadi ‘kuasa ketiga’ atau memberikan pilihan alternatif kepada rakyat dan dalam masa tertentu kita akan berjumpa dengan parti tertentu yang bersetuju dengan ideologi kita dalam menggerakkan kepentingan melibatkan pelbagai kaum dan agama,” jelasnya.

Pada 27 September lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengesahkan kehadirannya ke Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, pada 6 Oktober ini.

Beliau hadir dalam kongres itu atas kapasiti sebagai pemimpin Melayu dan bukannya Perdana Menteri atau Pengerusi parti Bersatu.

Kongres yang bakal mengumpulkan 20,000 peserta dan dibuka hanya kepada orang Melayu itu anjuran Pusat Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.