Gerakan bersepadu Pakatan Harapan akan gegar Kelantan

Gerakan bersepadu Pakatan Harapan akan gegar Kelantan

Pakatan Harapan  Kelantan yang kini memulakan gerakan bersepadu antara  PKR, DAP Amanah dan Bersatu  akan segera bergerak ke akar umbi untuk bersama rakyat dalam gerakan selamatkan Malaysia.

Hafiz MusaPakatan Harapan  Kelantan yang kini memulakan gerakan bersepadu antara PKR,DAP,Amanah dan Bersatu akan segera bergerak ke akar umbi untuk bersama rakyat dalam gerakan selamatkan Malaysia

Pengarah Pembangunan Kepimpinan dan SumberManusia Amanah Kelantan, Hafiz Musa berkata, gerakan ini bakal menggegarkan senario politik negeri itu.

“Dengan perkembangan terbaru yang menjadikan Pakatan Harapan semakin kukuh akan menjadikan situasi akar umbi di Kelantan akan mengulangi rekod luar biasa yang pernah dilakukan rakyat,” katanya berucap di majlis solat hajat, ramah mesra dan BBQ di Dataran Amanah Dun Bunut Payong kelmarin.

Rakyat kata Hafiz benar-benar menunggu masa sesuai dan pasukan diyakini untuk menukar pemerintah yang semakin tidak peduli kesusahan mereka.

“Situasi serupa dihadapi pemerintah peringkat pusat dan negeri sekarang.

“Di pusat kerajaan BN terus menaikkkan cukai, menghapus pelbagai subsidi dan berhutang menggadai masa depan rakyat.

“Di negeri pula masalah rakyat seperti pemulihan banjir, orang asli, penjagaan alam sekitar, pengurusan tanah, perumahan rakyat dan khidmat perbandaran terus mendesak.

“Dengan penyatuan lebih kukuh parti-parti dalam Pakatan Harapan , jelas rakyat menyambut baik untuk memberi kepercayaan kepada sebuah pentadbiran baru,” katanya.

Menurut Hafiz pihak Pakatan Harapan  negeri itu  kini menyusun kerja peringkat bawahan untuk memberi penerangan dan melatih pasukan kerja tersusun bagi menghadapi PRU ke-14.

“Perjumpaan ramah mesra seperti ini, walaupun kelihatan santai, dengan makan-makan ringan, bakar ikan dan ayam kita akan buat di semua Dun sekerap mungkin.

“Dengan cara ini kita dapat bersemuka dengan orang ramai dan boleh memberi jawapan langsung terhadap persoalan-persoalan yang dikemukakan.

Beliau berharap penyokong Pakatan Harapan akan memberi sumbangan semaksima mungkin bagi menjayakan agenda rakyat.

“Perubahan ini memerlukan kekuatan besar terutama tenaga dan kepakaran dalam mengendalikan kerja pilihanraya.

“Bila ada kursus, latihan dan gerakan berkaitan pilihanraya, ahli semua parti dalam Pakatan Harapan perlu sama-sama mengambil bahagian.

“Kita kini bergerak atas satu landasan, setelah dipersetujui satu simbol, satu manifesto telah dipersetujui oleh semua parti dalam Pakatan Harapan,” katanya.

TAGS