Malaysia Dateline

Gerakan hanya melukut di tepi gantang sahaja dalam PN

Penyertaan Gerakan ke dalam Perikatan Nasional umpama melukut di tepi gantang dan hanya menggambarkan keterdesakan PN untuk memberikan gambaran ia adalah parti berbilang kaum.

Datuk A Kadir Jasin Demikian kata tokoh wartawan, Datuk A Kadir Jasin (gambar) ketika mengulas pengumuman penyertaan Gerakan ke dalam PN baru-baru ini.

Bagi beliau, kemasukan Parti Gerakan Rakyat Malaysia ini ke dalam PN adalah sekadar membanyakkan bilangan.

“Parti itu terlalu “insignificant” untuk memberi kesan bermakna kepada PN,” katanya.

Kalau tidak kerana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong, Perak, yang diperoleh melalui pengkhianatan, Gerakan sudah hanyut.

Ia memperoleh kerusi itu apabila S Subramaniam, yang menang kerusi tersebut atas tiket PH-DAP, belot Jun lalu.

“Kehadiran Gerakan dalam PN bolehlah disamakan dengan keahlian Parti Makkal Sakti Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia dan Barisan Progresif India Se-Malaysia dalam Barisan Nasional. Ibarat melukut di tepi gantang.

“Ia turut menggambarkan keterdesakan PN untuk menambah bilangan anggota dan memberi gambaran ia adalah gabungan pelbagai kaum,” kata Kadir dalam tulisan di Facebook beliau.

Katanya, tindakan ini samalah seperti MCA dan MIC, yang masih menganggotai BN, Gerakan boleh dikatakan sudah ditolak sepenuhnya oleh pengundi Cina dan India.

“Menyertai PN tidak lebih daripada mengelak daripada terus terumbang-ambing dalam lautan politik yang semakin bergelora,” kata bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu lagi.

Selain Bersatu dan Pas, parti anggota PN yang lain adalah Parti Solidariti Tanah Airku (Star) (Sabah) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Star ada satu kerusi Dewan Rakyat dan enam DUN di Sabah manakala SAPP ada satu kerusi DUN.