Gerakan mencari dan menyelamat helikopter hilang diperhebat

Gerakan mencari dan menyelamat helikopter hilang diperhebat

Polis hari ini mengesahkan kehilangan sebuah helikopter namun enggan mengesahkan identiti penumpang terbabit.

Pesuruhjaya polis negeri, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman dalam sidang akhbar lewat malam semalam berkata, kumpulan mencari dan menyelamat (SAR) bersepadu telah digerakkan ke kawasan terbabit ekoran pemakluman kehilangan helikopter itu oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Beliau turut menafikan maklumat yang tersebar melalui media sosial kononnya helikopter itu telah mndarat dengan selamat dan semua penumpang ditemui selamat.

“Kita telah pun menghantar platun Pasukan Tindakan Am (GOF) ke Triso di Sri Aman. Mereka bergabung dengan 13 anggota polis marin, 30 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri dan 30 anggota Jabatan Pertahanan Awam,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa helikopter model AS350/RPC6828 itu telah berlepas dari Betong pada jam 4.12 petang dan hilang daripada radar pada jam 4.32 petang, di pertengahan laluan ke Kuching di sekitar kawasan Triso.

“Ketua Polis Sri Aman telah tiga kali menghantar anggotanya ke kawasan terbabit namun tidak menemui apa-apa.

“Bagaimanapun kita akan fokus operasi SAR di kawasan terbabit. Anggota polis di Sri Aman, Simunjan dan Betong turut berada di kawasan itu,” ujar Sabtu.

Beliau menambah, pasukan forensik polis, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan anggota tentera laut juga akan dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Sabtu berharap penemuan terbaik daripada operasi itu namun enggan memberi jawapan positif tentang apa yang telah berlaku, lapor The Borneo Post.

TAGS