Gerakan persoal jaminan Kit Siang kerajaan PH akan iktiraf UEC

Gerakan persoal jaminan Kit Siang kerajaan PH akan iktiraf UEC

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mempersoalkan jaminan penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebelum pilihan raya umum yang akan datang.

Menurutnya, veteran DAP berkenaan tidak mempunyai sebarang jawatan rasmi dalam PH dan Kit Siang tidak harus memberikan harapan palsu kepada rakyat.

“Bagaimana beliau boleh mewakili kerajaan untuk memberi jaminan bahawa UEC akan diiktiraf sebelum pilihan raya akan datang,” ujarnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tegasnya, Kit Siang tidak harus memberikan janji-janji kosong sebaliknya perlu membuktikan DAP ikhlas dan komited mengiktiraf UEC.

Sehubungan itu, Dominic menyarankan agar Kit Siang mencontohi usaha-usaha Gerakan antaranya mengadakan sesi dialog dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang sebelum ini tidak bersetuju dengan pengiktirafan UEC.

“Di samping itu, Kit Siang juga boleh menjadi pengantara bagi sesi dialog di antara NGO Melayu dengan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) untuk menghilangkan keraguan mereka mengenai UEC,” ujarnya.

Beliau berkata, Kit Siang perlu menyatakan kebenaran bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempunyai hasrat mengiktiraf UEC dengan cara meminta beliau campur tangan dan menyertai sesi dialog tersebut.

“Jika kerajaan PH benar-benar komited mengiktiraf UEC tidak sukar untuk mengatur pertemuan di antara Perdana Menteri dengan NGO Melayu bagi menghapuskan keraguan mereka,” katanya.

Sebelum ini, Kit Siang memberitahu beliau optimis bahawa UEC akan diiktiraf sepenuhnya oleh PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).