Gerakan yakin capai prestasi lebih baik jika sertai pilihan raya mengejut di Pulau Pinang

Gerakan yakin capai prestasi lebih baik jika sertai pilihan raya mengejut di Pulau Pinang

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mahu diberi peluang untuk bertanding pada pilihan raya negeri Pulau Pinang, dan ia yakin dapat mencapai prestasi yang lebih baik, kata Presidennya Datuk Seri Mah Siew Kong.

Beliau berkata walaupun secara prinsipnya Gerakan tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan DAP pimpinan Lim Guan Eng untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu namun, beliau meramalkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tetap akan dibubarkan.

“Saya meramalkan dengan semua ‘wayang-wayang’, akhirnya (DUN) Pulau Pinang akan dibubarkan dan akan ada pilihan raya di sana.

“Kita banyak pemimpin (Gerakan) di Pulau Pinang yang bangkitkan banyak perkara tapi mereka tidak berada dalam DUN. Saya harap pengundi Pulau Pinang fikirkan dengan baik supaya beri peluang kepada kita,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Gerakan Kedah di sini, hari ini.

Pada Khamis, Lim dalam sidang berita berkata DAP akan memberikan masa kepada PKR untuk berbincang sebelum membuat keputusan berhubung pilihan raya negeri mengejut itu.

Cadangan mengadakan pilihan raya itu merupakan dua pilihan yang ada, selain satu lagi pilihan iaitu menunggu pilihan raya umum akan datang, sebagai maklum balas kepada dua tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap Lim.

Mah berkata tindakan DAP mahu mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu adalah bagi membantunya menyelamatkan Lim daripada masalah peribadi yang dihadapinya.

“Banyak yang cakap kita (Gerakan) takut, tetapi sebenarnya tidak kerana secara prinsipnya, kita akan menunjukkan prestasi lebih baik dari dahulu, tidak semestinya kita sokong dengan cadangan itu,” katanya.

Sementara itu Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan bertanding dalam pilihan raya mengejut sekiranya cadangan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP itu menjadi kenyataan.

Pengerusi BN Negeri Teng Chang Yeow berkata terdapat banyak laporan yang menyebut tentang kerajaan negeri akan mengadakan pilihan raya mengejut namun masih terlalu awal untuk beliau mengulas mengenainya sehinggalah Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

“Apabila DUN dibubarkan, sesiapa sahaja boleh bertanding dan BN sudah tentu akan bertanding dalam pilihan raya mengejut itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BN di sini hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman, timbalannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Setiausaha MCA Negeri Tan Chuan Hong, Pengerusi MIC Negeri Datuk K.Thangavelu, Pengerusi Parti Progresif Penduduk Negeri Datuk Dr Loga Bala Mohan dan pemangku Pengerusi Gerakan Negeri Oh Tong Keong.

Rabu lepas, Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberitahu sidang akhbar bahawa DAP akan memberi masa kepada rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PKR dan Parti Amanah Negara) untuk berbincang sebelum membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri ini.

Bagaimanapun, Teng berkata susulan berita tentang pilihan raya mengejut itu, BN mengadakan mesyuarat pertama parti komponen untuk membincangkannya dan membuat persediaan untuk berdepan sebarang kemungkinan.

“Kami mengadakan mesyuarat untuk berbincang tentang perkara ini dan menilai kesiapsiagaan semua parti komponen,” katanya.

Namun begitu beliau enggan menyatakan agenda mesyuarat hari ini, termasuk jumlah kerusi yang akan ditandingi dan pembahagian kerusi.

Media tempatan baru-baru ini melaporkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy sebagai berkata DAP menyenaraikan dua pilihan sebagai respons kepada dua pertuduhan rasuah yang dihadapi Lim.

Pilihan pertama adalah mengadakan pilihan raya mengejut untuk menilai respons rakyat berkaitan tuduhan terhadap Lim, dan kedua, menunggu sehingga pilihan raya umum berikutnya yang bakal diadakan sebelum Ogos 2018.

Lim didakwa di Mahkamah Tinggi pada 30 Jun atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan selain pembelian tanah dan banglo di bawah harga pasaran.

TAGS