Gerakkan laporan polis terhadap naib ketua Pemuda Umno

Gerakkan laporan polis terhadap naib ketua Pemuda Umno

Skandal 1MDB semakin menjadi perhatian antarabangsa apabila Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat telah memfailkan prosiding ‘Civil Forfeiture’ bagi menyita dan merampas aset-aset di Amerika Syarikat yang didakwa diperolehi melalui pengubahan wang haram akibat perbuatan jenayah mencuri wang 1MDB. Pemilik-pemilik aset-aset yang didakwa di dalam prosiding tersebut pula didakwa mempunyai hubungan keluarga dan kenalan rapat Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.

Bagi mempertahankan kedudukan Perdana Menteri, ‘pemakan-pemakan dedak’ cuba membuat pelbagai kenyataan yang cuba mengelirukan rakyat. Terbaru, muncul seorang ‘hero muda’ membuat kecoh pada 26 Julai 2016 bernama Khairul Azwan bin Harun, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia membuat laporan polis (Repot No: CHOWKIT/005870/2016) ke atas Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed (bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (bekas Gabenor Bank Negara) dan Tan Sri Abdul Gani Patail (bekas Peguam Negara).

Menurut laporan polis tersebut, Khairul Azwan percaya bahawa ketiga-tiga ‘Tan Sri’ ini telah secara berseorangan atau bersesama terlibat dalam suatu konspirasi menggulingkan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia yang sah dengan memberikan maklumat sulit dan dokumen kepada agensi asing termasuk FBI. Khairul Azwan juga menyatakan di perenggan terakhir laporan polisnya bahawa “perkara yang saya laporkan di sini bukanlah dakwaan semata-mata tanpa asas dan saya pohon supaya pihak polis menyiasat perkara ini dengan segera”.

Namun, pada 2 Ogos 2016 Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakat dilaporkan berkata polis sudah menutup kes dan memberhentikan siasatan terhadap laporan polis beliau atas alasan laporan Khairul Azwan tersebut hanya berdasarkan ‘andaian’ yang mungkin diperoleh melalui bacaan di akhbar, mendengar cerita orang sahaja.

Tan Sri Ketua Polis Negara seterusnya dilaporkan berkata semasa dirakam percakapan dan siasatan, Khairul Azwan tidak dapat mengemukakan apa-apa bukti untuk menyokong dakwaannya. Malah Ketua Polis menyatakan bahawa polis menasihati Khairul Azwan supaya tidak mengulangi perkara yang sama pada masa depan jika tidak mempunyai fakta atau bukti.

Oleh kerana dalam laporan polisnya, Khairul Azwan mengatakan bahawa laporan polisnya dibuat dengan asas, namun akhirnya tiada sebarang bukti dikemukakan, maka laporan polis tersebut dibuat berdasarkan maklumat palsu. *Justeru, Pemuda AMANAH akan menggerakkan sayapnya di setiap negeri bagi membuat laporan polis yang bertujuan agar pihak Polis DiRaja Malaysia menyiasat Khairul Azwan kerana telah membuat laporan palsu yang jelas merupakan suatu kesalahan jenayah bawah Seksyen 182 dan 194 Kanun Keseksaan.*

Pemuda AMANAH juga menyokong sekiranya ketiga-tiga Tan Sri yang dinamakan dalam laporan polis Khairul Azwan itu membuat laporan polis di bawah kesalahan Seksyen 499 Kanun Keseksaan atas fitnah jenayah memandangkan dakwaan terhadap ketiga-tiga mereka adalah serius, yang mana mereka boleh disiasat dan didakwa di bawah kesalahan terhadap negara di bawah Bahagian 6 Kanun Keseksaan dan SOSMA.

Jika tiada laporan polis dibuat mereka, Pemuda AMANAH mendesak agar Peguam Negara atau mana-mana Timbalan Pendakwa Raya membuat laporan polis terhadap Khairul Azwan menurut Seksyen 131 Kanun Acara Jenayah supaya maruah dan integriti institusi-institusi utama pentadbiran negara yang pernah diterajui mereka bertiga dipelihara.

Siasatan ini adalah penting agar tiada pihak menyalahgunakan undang-undang dalam mempertahankan Perdana Menteri yang kini terpalit dengan skandal korupsi terburuk negara. Keluhuran undang-undang hendaklah dipelihara.

Pemuda AMANAH menggesa pihak polis dengan segera menyiasat laporan polis yang akan dibuat terhadap Khairul Azwan. Pemuda AMANAH juga mendesak agar siasatan terhadap identiti ‘Malaysian Official 1’ diteruskan dengan adil dan bebas dan hasil siasatan hendaklah dikemukakan segera kepada Peguam Negara untuk dibuat pendakwaan terhadap mereka yang terlibat dengan jenayah skandal 1MDB ini.

Cukuplah Ketua Polis Negara dan Peguam Negara melindungi perbuatan-perbuatan jenayah yang dilakukan pembesar negara. Letakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan. Harta negara yang dirompak melalui 1MDB perlu dikembalikan.

*Penulis adalah Ketua Pemuda AMANAH Nasional

CATEGORIES