Malaysia Dateline

‘Geraklah ke depan sikit’, bebelan wanita tiga anak ini mengundang sindiran

Boleh saja hidupkan enjin kereta dan gerak ke depan tetapi wanita tiga anak ini mungkin dalam keadaan stres tanpa dapat berfikir secara rasional.

Akibatnya, bebelan dia di media sosial yang tidak berpuas hati dengan pemilik kereta kerana dianggap menyusahkannya untuk membuka but kereta mengundang sindiran warganet.

Walhal, pemilik kereta yang siap dia nyatakan nombor plat itu meletakkan kereta dalam petak parkir yang betul.

Tambah melucukan apabila wanita tersebut mengingatkan agar pemandu kereta itu supaya berfikir tentang orang lain.

“Kesian orang zaman sekarang, bukan nak kena fikir anak bini sendiri saja, kena fikir sekali masalah jiran, masalah orang sebelah menyebelah.

“Datang mall seorang ke berdua? Datang dengan anak tiga. Ibu tunggal lagi. Hah, semua tu kena fikirlah,” perli Nurzalila Ishak.

Sementara itu, Azalea Chulin pula secara berseloroh mengesyorkan supaya pengunjung gedung beli-belah terlebih dahulu merujuk pada kaunter pertanyaan untuk membuat pengumuman sebelum meletakkan kenderaan.

“Tanya adakah pemilik (kereta) belakang kereta saya ada anak tiga, shopping tanpa suami dan bawa banyak barang? Kalau ada, saya park tempat lain. Takut diviral,” tulisnya.

Ramai juga yang bersimpati dengan pemilik kenderaan dengan nombor pendaftaran BGW itu selain menyarankan adalah tidak digalakkan parking reverse di parkir pusat beli-belah.

Baca juga Bahaya tidak jaga jarak, pemandu kongsi cara selamat elak ‘cium’ kereta depan

Baca juga Cara mudah untuk elakkan kereta bahang semasa waktu panas terik