Malaysia Dateline

Geramm tuntut Media Prima beri pampasan setimpal

Gerakan Media Merdeka (Geramm) menuntut pihak pengurusan Media Prima Berhad memastikan pampasan setimpal diberikan kepada kakitangan yang akan kehilangan pekerjaan.

Memandang serius perkembangan pengecilan operasi syarikat itu, Geramm menyeru agar syarikat-syarikat lebih menitikberatkan pekerja yang berhempas pulas dan bergantung harap demi industri kewartawanan di negara ini.

“Jumlah terlibat dijangka mencapai lebih 1,000 orang kakitangan bertugas, melibatkan rangkaian akhbar News Straits Times Bhd serta rangkaian digital Media Prima.

“Surat rasmi dijangka akan diserahkan pada Isnin (esok), walaupun difahamkan ada di kalangan pekerja terbabit sudah dimaklumkan lebih awal tentang nasib mereka,” kata kumpulan prokebebasan media itu dalam kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Media Prima dilapor akan mengecilkan syarikat berkuat kuasa sepenuhnya Mac tahun depan termasuk menutup pejabat syarikat itu di kebanyakan negeri di seluruh negara.

Sehubungan itu, Geramm menyifatkan perkembangan itu akan memberi kesan secara langsung kepada peranan kewartawanan.

“Betapa ia mengecilkan lagi skop dan peranan kewartawanan sebagai badan semak imbang dan penyalur maklumat kepada masyarakat.

“Justeru, Geramm turut ingin menyuarakan hasrat #kawangeramm agar kemelut yang melanda ini tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak bagi kepentingan peribadi individu.

“Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang berlaku, tetapi sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan,” ujarnya.

Fokus utama, tegas kenyataan itu lagi, harus diberi kepada usaha membela hak pekerja-pekerja terlibat.