Geran kerajaan: Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang sokong saranan Wan Azizah

Saranan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya pertubuhan sukarela kebajikan tidak terlalu bergantung dan mengharapkan geran kerajaan bagi menjayakan program dan aktiviti yang hendak dijalankan adalah suatu gesaan yang seharusnya diberi perhatian serius, kata, Timbalan Pengerusi Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang (PDRPP) Robizal Romli.

Robizal Romli

Beliau berkata, , cadangan TPM tersebut sejajar dengan kedudukan ekonomi negara yang masih dalam proses untuk bangkit selepas menerajui kepimpinan sejak Mei yang lalu.

Menurut Robizal lagi, proposal tersebut merupakan salah satu tindakan pro aktif bagi menggerakkan persatuan supaya terus bangkit tanpa menanti sokongan sepenuhnya dari kerajaan.

Dengan cara itu katanya, ia bukan sahaja menjadikan pertubuhan sukarela kebajikan sebagai sebuah organisasi yang senantiasa menolong meringankan beban masyarakat tetapi juga membantu kerajaan.

Sehubungan itu katanya, sebagai salah sebuah pertubuhan sukarela PDRPP turut mengambil insiatif dengan mencari dana melalui perniagaan barangan kitar semula bersama dengan Persatuan Tzu Chi Recycling.

“Keuntungan yang diperolehi akan diagihkan sebagai dana untuk kerja-kerja amalan yang kami laksanakan.

“Disamping itu badan-badan korporat turut menyumbang dalam usaha kami menjalankan kerja-kerja amal.

“Secara tidak langsung ia mendidik persatuan maupun pertubuhan agar tidak bergantung sepenuhnya kepada geran kerajaan, ” ujarnya lagi.

Wan Azizah semasa berucap pada majlis perasmian Tasputra Perkim semalam menyatakan bahawa pada tahun 2018 lebih RM13 juta telah dibelanjakan untuk 224 buah pertubuhan sukarela kebajikan.

Selain itu katanya, Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya pertama pada 2018 juga telah bersetuju dengan cadangan untuk meningkatkan aksesibiliti kepada golongan OKU.