Malaysia Dateline

Gerhana Matahari Separa akan terjadi petang ini, tapi tidak boleh dilihat dari Malaysia

Fenomena Gerhana Matahari Separa akan dapat dilihat merentasi kawasan Hemisfera Utara hari ini dengan ahli astronomi amatur diberi amaran berhati-hati menonton fenomena jarang berlaku itu.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam hantaran di Facebook, berkata, fenomena itu dijangka berlaku dari jam 4.58 petang dan berakhir 9.02 malam waktu Malaysia.

Bagaimanapun, fenomena tersebut tidak dapat dilihat di negara ini tetapi boleh dilihat di Eropah, bahagian timur laut Afrika, bahagian timur tengah dan barat Asia.

Kata MYSA, rakyat Malaysia tidak dapat menyaksikan gerhana ini kerana laluan bayang-bayang penumbra bulan tidak melalui mana-mana kawasan di Malaysia pada waktu tersebut.

“Sebaliknya Laluan Gerhana Matahari Separa (Lintasan Bayang Penumbra Bulan) ini akan bermula dari Iceland ke Russia dan akan berakhir di Laut Arab.

“Jadi penduduk yang berada di Eropah, bahagian timur laut Afrika, bahagian timur tengah dan barat Asia akan dapat menyaksikan fenomena alam itu,” katanya.

Gerhana matahari berlaku apabila bulan melintas antara matahari dan bumi, memancarkan bayang-bayangnya ke planet kita.

Fenomena Gerhana Matahari Separa itu berlaku pada 4.2 hari sebelum bulan berada pada kedudukan perigee, iaitu titik orbit bulan yang berada pada kedudukan terdekat dari bumi dengan jarak 368,287 kilometer.

Gerhana maksimum pada 25 Oktober 2022 ini akan berlaku di hemisfera utara pada koordinat 61° 38′ 55.6″ U, 77° 20′ 44.7″ T apabila 82.11 peratus permukaan matahari diliputi oleh bulan, kata MYSA.

Baca juga: Ramai terkejut Najib dapat ‘air time’ di TV1, Jabatan Penjara nafi sebarang rakaman pernah dibuat di penjara

Baca juga: Lelaki tersilap bayar tambang teksi lebih 1,000 kali ganda, nasib baik dapat semula