Sempena pembentangan Bajet 2018 oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak esok, Gerakan Turunkan Harga Minyak (Gertak) akan mengadakan aksi kilas (flashmob) di simpang susur masuk Parlimen di ibu negara pada 27 Oktober.
Penyelaras mobilisasinya, Faiz Fadzil berkata, aksi Pemuda Pakatan Harapan bermula pukul 3 petang itu bagi membantah kenaikan harga bahan api yang memberi kesan berantai kepada peningkatan mendadak kos sara hidup mutakhir ini.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda AMANAH itu, gerakan tersebut menuntut supaya Bajet 2018 memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat yang terjerut dengan kenaikan kos barangan keperluan dan perkhidmatan.
“Ayuh, semua rakyat turun bantah kenaikan harga minyak. Jangan biarkan Najib Razak selesa tabur gula-gula pilihan raya ketika harga minyak terus menekan kita semua.
“Antara faktor utama harga barang adalah harga minyak yang sering kali naik dan ini yang mendatangkan kesan domino ekonomi kepada rakyat.
“Kita mahu kerajaan dedahkan nilai sebenar Alpha yang digunakan bagi pengiraan harga minyak yang berasaskan formula APM (Mekanisme Penetapan Harga Minyak),” tegasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini.
Alpha merujuk kepada nilai perbezaan antara harga Mean of Platts Singapore (Mops) dengan harga sebenar yang dibeli syarikat minyak.
Nilai itu kemudiannya diambil kira dalam menentukan formula harga minyak.
APM pula berperanan sebagai mekanisme yang menstabilkan harga petrol dan diesel dalam negara dengan mengambil kira Kos Produk, Alpha, Kos Pengendalian, Margin Minyak dan Margin Pengedar.
Sementara itu, Kos Produk adalah dalam Dolar Amerika Syarikat (AS) setong dan dikira berdasarkan kepada Mops untuk petrol Ron97, Ron95 dan diesel.
Kos Produk tersebut terikat dengan pergerakan minyak mentah yang kemudiannya ditukarkan kepada nilai Ringgit Malaysia untuk harga seliter.
Mengulas lanjut, Faiz berpendapat kerajaan tidak telus dalam menetapkan harga runcit minyak di negara ini kerana harga runcit yang dijual kepada rakyat melonjak tinggi walaupun harga pasaran minyak mentah tidak berubah naik.
“Kita mahu desak kerajaan menurunkan harga minyak pada kadar yang munasabah dan adil dengan mengembalikan subsidi minyak,” jelasnya lagi.
Bulan lalu, Pemuda AMANAH Nasional mengkritik sikap Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang membisu berhubung nilai Alpha dalam formula APM serta kaedah sebenar pengiraan bahan api.
Sementara itu, Belanjawan Alternatif Malaysia 2018 dengan tema ‘Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih Harapan’ yang dibentangkan di Parlimen semalam turut bertekad untuk mengembalikan subsidi petrol.
Pakatan Harapan menawarkan subsidi bahan api sekitar RM1 bilion untuk tahun 2018 yang membawa kepada pengurangan harga sebanyak 20 sen seliter bagi 5.4 bilion liter petrol bersubsidi.